KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh didakwa dengan sengaja memilih untuk menyembunyikan Titah Adendum membabitkan perintah rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengelirukan mahkamah serta gagal melaksanakan tanggungjawab keterbukaannya (duty of candour).
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Ahmad Terrirudin yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan dengan sengaja memilih untuk berbuat demikian walaupun terdapat bukti jelas beliau mengetahui mengenai kewujudan titah tambahan itu.
Katanya, Peguam Negara terkini, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar sendiri telah mengakui kewujudannya.
“Kenyataan responden (Ahmad Terrirudin) dalam afidavitnya yang menggambarkan permohonan semakan kehakiman pemohon (Najib) sebagai bersifat spekulatif dan khabar angin (sedangkan responden mempunyai) pengetahuan penuh terhadap fakta-fakta material yang berada dalam kawalannya termasuk kewujudan Titah tambahan tersebut.
“Titah Adendum berkenaan secara jelas dialamatkan kepada Ahmad Terrirudin dengan menyebut nama serta jawatan rasminya sebagai Peguam Negara. Beliau mengetahui ‘mengenai titah itu dan berusaha untuk menghalangnya. Tanggungjawab untuk berlaku jujur terpakai dengan lebih ketat terhadap Ahmad Terrirudin berbanding orang lain,” hujah Muhammad Shafee.
Sewaktu rayuan Najib berhubung kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berkait Titah Adendum itu, Muhammad Shafee membacakan sebahagian titah tersebut yang berbunyi:
“Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam ke Majlis Yang Berbahagia Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd. Salleh, Peguam Negara Malaysia yang berada pada masa ini di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan beberapa selamat dan sejahteranya.
“Wabadah Ehwal, Beta dengan ini menitahkan sebagai tambahan kepada keputusan Beta berhubung Banduan. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan dan Putrajaya kali ke-61 pada hari Isnin, 29 Januari 2024 bersamaan 17 Rejab 1445 Hijrah supaya Banduan, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak menjalani baki hukuman menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest).”
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah, permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu tidak berasas dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Beliau menegaskan, hujahan peguam bahawa Peguam Negara menanggung tanggungjawab untuk berlaku jujur (duty of candour) pada peringkat permohonan kebenaran adalah sama sekali tidak tepat.
“Responden tidak menanggung tanggungjawab untuk berlaku jujur pada peringkat kebenaran semakan kehakiman dan oleh itu tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengesahkan titah itu,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua bekah pihak, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menetapkan 4 September ini untuk keputusan.
Najib memfailkan permohonan komital berbentuk pemenjaraan terhadap Ahmad Terrirudin pada 21 Mei lalu di Mahkamah Tinggi di sini yang didakwa sengaja mengarahkan atau telah menyebabkan hujah tidak benar dikemukakan sewaktu permohonan semakan kehakiman berhubung titah itu pertama kali didengar di Mahkamah Tinggi di sini, tahun lalu.
Tambah Najib, tindakan oleh Ahmad Terrirudin ketika menjawat jawatan Peguam Negara adalah bertentangan dengan kewajipan utama beliau terhadap pentadbiran keadilan. – UTUSAN









