PETALING JAYA: Proses rayuan terhadap keputusan berhubung Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu difokuskan kepada dua perkara sama ada titah itu sah di sisi undang-undang dan sama ada ia boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Peguam kanan, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu mengemukakan rayuan bagi menguji keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching di mahkamah yang lebih tinggi.
Katanya, perkara yang perlu ditentukan adalah sama ada Titah Adendum itu sah atau tidak dan sama ada ia boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Terdapat kes berkaitan Perdana Menteri sebelum ini yang mencabar pengampunan dengan hujah bahawa Lembaga Pengampunan tidak wujud ketika Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan.
“Namun, mahkamah memutuskan perkara itu tidak relevan kerana keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam pengampunan tidak boleh dicabar di mahkamah. Justeru, Najib masih berpeluang merayu berdasarkan hujahan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun menurut Shamsuddin, permohonan Najib di Mahkamah Tinggi adalah tidak tepat kerana beliau memohon untuk menjalani hukuman di rumah sendiri, sedangkan Titah Adendum hanya menyebut ‘penjara rumah’ dan bukannya rumah sendiri.
“‘Penjara rumah’ itu berada di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri untuk diwartakan sebagai penjara dan tidak semestinya rumah sendiri.
“Ini adalah kuasa Menteri Dalam Negeri. Namun, ia tidak bermakna penjara rumah boleh dilakukan di rumah sendiri. Sekiranya sesuatu rumah telah digazet sebagai penjara, orang lain yang bukan banduan tidak dibenarkan tinggal di situ.
“Rumah tersebut telah bertukar fungsi daripada rumah biasa menjadi penjara. Tidak logik anak dan isteri yang bukan banduan diletakkan bersama banduan kerana ia bercanggah dengan undang-undang,” katanya.
Katanya lagi, Titah Adendum wujud tetapi tidak sah dan ia merupakan isu kuasa Yang di-Pertuan Agong dan penting untuk diperoleh keputusan daripada mahkamah tertinggi negara.
“Bagi saya, terdapat dua kedudukan utama. Pertama, Najib menerima titah yang tidak sah dan kedua, Yang di-Pertuan Agong telah melakukan sesuatu yang tidak diiktiraf oleh Perlembagaan.
“Kedua-dua isu ini perlu diperjelaskan melalui kehakiman atau keputusan mahkamah tertinggi supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan menjadi jelas,” katanya.
Tambahnya, tindakan Yang di-Pertuan Agong yang dikatakan di luar Perlembagaan adalah rumit kerana Yang di-Pertuan Agong bukan pihak dalam semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Najib,” ujarnya. – UTUSAN










