PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih mempunyai peluang untuk mengemukakan rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan Titah Adendum yang membenarkan tahanan rumah terhadapnya sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan kelmarin.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, peluang tersebut masih terbuka kerana terdapat pandangan perundangan yang berbeza dan semua pihak pada masa ini perlu menghormati undang-undang serta keputusan Mahkamah Tinggi.
“Semua pihak pada masa ini perlu menghormati undang-undang serta keputusan Mahkamah Tinggi sehingga proses rayuan dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, bekas Perdana Menteri itu perlu menghabiskan baki hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. di Penjara Kajang dan bukannya di rumah.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum yang membenarkan Najib untuk menghabiskan baki hukumannya di rumah sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.
Yaacob yang juga peguambela dan peguamcara berkata, kuasa pengampunan diraja telah ditetapkan sebagai undang-undang yang tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah berdasarkan beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja dan sultan di negeri-negeri ketika ini mempunyai mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dijadualkan bermesyuarat sewajarnya mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dan mendapatkan nasihat perundangan berkaitan had kuasa baginda masing-masing daripada Penasihat Undang-Undang Negeri dan Peguam Negara.
“Sama ada perlu atau tidak dilaksanakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja merupakan perkara yang perlu diputuskan oleh raja-raja bagi mendapatkan pandangan perundangan yang seragam.
“Ia memandangkan kuasa pengampunan diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Undang-Undang Tubuh Negeri kepada raja-raja di negeri-negeri termasuk Yang di-Pertua Negeri,” katanya.
Mengulas cadangan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, Yaacob berkata, adalah lebih wajar isu keabsahan dekri tambahan dan sama ada keputusan itu melanggar hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja tidak disentuh buat masa ini kerana ia dijangka menjadi isu terpenting yang akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.
Katanya, Peguam Negara merupakan penasihat perundangan utama kerajaan seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan oleh kerana Yang di-Pertuan Agong juga adalah sebahagian daripada cabang eksekutif, maka sewajarnya Peguam Negara turut bertindak sebagai penasihat perundangan kepada Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN









