PROJEK Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) menggesa tiga kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih belum diputuskan atau dimuktamadkan oleh mahkamah diselesaikan sama ada melalui perbicaraan penuh atau permohonan bagi pengakuan bersalah di bawah Seksyen 172C Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sekiranya beliau benar-benar berhasrat untuk memohon pengampunan bagi sabitan kes SRC beliau.
Kes-kes baki tersebut ialah 1MDB-Tanore (beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion, kini dalam proses rayuan), kes IPIC, dan SRC2 (kedua-duanya kini dalam proses perbicaraan).
Anak lelaki Najib, Nazifuddin Mohd. Najib sebelum ini menyatakan kalau Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ia memberi isyarat bahawa rakyat mahukan Najib diberikan pengampunan.
Projek SAMA menggesa agar Najib dan keluarganya berhenti mencari ‘kad bebas penjara VIP’ melalui peti undi mahupun lobi istana. Untuk mendapatkan pelepasan secepat mungkin, Najib harus melakukan tiga perkara berikut:
- Memastikan kes-kes beliau diselesaikan sepenuhnya, sama ada melalui proses perbicaraan mahupun melalui permohonan bagi pengakuan bersalah.
- Mengaku bersalah dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyeleweng dana awam, bukannya mencemarkan sistem keadilan jenayah dan mendakwa diri sebagai mangsa penganiayaan politik.
- Bersara sepenuhnya daripada politik Malaysia.
Apabila rayuan pengampunan Najib dibentangkan di hadapan Lembaga Pengampunan, tahap keseriusan jenayah kewangan beliau serta kemudaratan jangka panjang yang dicetuskannya terhadap masa depan seluruh rakyat Malaysia, termasuk generasi masa hadapan, mestilah diambil kira.
Pengampunan biasanya diberikan selepas proses kehakiman telah dimuktamadkan sepenuhnya, selalunya bagi menzahirkan belas kasihan apabila perkara tersebut tidak dibenarkan di bawah undang-undang.
Ia kadangkala digunakan untuk membetulkan kepincangan sistem keadilan yang berlaku semasa proses perbicaraan.
Malah, ia juga kadangkala digunakan bagi memudahkan rekonsiliasi politik, terutamanya apabila individu yang disabitkan itu merupakan pemimpin yang berpengaruh.
Walau apa pun pertimbangannya, pengampunan sepatutnya menjadi instrumen sokongan untuk melengkapi keadilan dan bukannya mencabuli keadilan itu sendiri.
Tanpa mengira prosedur yang terlibat, pengampunan akan hilang keabsahannya dan meninggalkan persepsi yang amat buruk sekiranya ia meruntuhkan kedaulatan undang-undang serta menggugat kepercayaan orang awam terhadap sistem keadilan jenayah.
Sekiranya Najib diampunkan sekarang tetapi kemudiannya dipenjarakan semula bagi mana-mana atau kesemua baki kes beliau, adakah beliau akan memfailkan satu lagi rayuan pengampunan?
Atau, adakah pengampunan yang diberikan ketika kes-kes lain masih berjalan akan mencetuskan persepsi bahawa Najib kini dikecualikan daripada sebarang hukuman penjara?
Jika sedemikian, sekiranya beliau akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan tersebut, adakah orang awam masih akan menaruh kepercayaan terhadap sistem keadilan jenayah dan kedaulatan undang-undang?
Dari sudut pelaksanaan praktikal, sekiranya Najib mahu menggunakan haknya untuk memohon pengampunan sekarang, beliau mestilah mengemukakan pengakuan bersalah kepada pihak pendakwaan bagi ketiga-tiga kes tersebut atas pertuduhan yang lebih ringan.
Langkah ini bukan sahaja akan menjimatkan kos guaman beliau, tetapi juga mengelakkan pembaziran wang rakyat yang besar yang terpaksa dibelanjakan untuk mendakwa beliau.
Sebaliknya, jika Najib percaya bahawa beliau tidak bersalah dalam kes-kes ini dan mahu menuntut pembebasan di mahkamah, beliau mestilah menunggu sehingga kesemua perbicaraan selesai sepenuhnya sebelum memfailkan sebarang rayuan pengampunan. – UTUSAN
PROJEK SAMA









