Saman AS$8 bilion 1MDB, Najib dapat sebahagian dokumen

Saman AS$8 bilion 1MDB, Najib dapat sebahagian dokumen

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya mendapatkan sebahagian dokumen berkait dengan kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menuntut ganti rugi berjumlah AS$8 bilion daripada beliau dan tujuh individu lain.

Najib dalam permohonannya memohon 20 jenis dokumen berkait dengan saman itu namun hanya dibenarkan untuk diberikan lima jenis dokumen sahaja.

Saman AS$8 bilion itu adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan bagi menuntut lebih AS$23 bilion terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan melibatkan 1MDB.

Antara dokumen yang dibenarkan ialah senarai lengkap semua wang, aset atau harta yang telah dipulihkan, dikembalikan, direpatriasi atau direalisasikan serta semua dokumen yang membuktikan atau merekodkan apa-apa pemulihan, repatriasi, restitusi atau pemulangan wang atau aset.

Turut dimohon ialah semua dokumen yang berkaitan dengan apa-apa penyelesaian, kompromi atau resolusi yang dimeterai dengan mana-mana pihak dan semua dokumen yang memperincikan terma dan syarat penyelesaian termasuk syarat pembayaran, pelepasan (release), pembebasan liabiliti (discharge), pengakuan (admissions) dan kerahsiaan (confidentiality).

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Redzuan Idrus dalam keputusannya menyatakan, dokumen-dokumen yang dimohon oleh Najib adalah adalah jelas relevan dan perlu bagi pelupusan adil (fair disposal) tindakan undang-undang tersebut.

“Memandangkan defendan (Najib) merupakan pihak dalam tindakan ini, mereka berhak mengetahui khususnya dokumen-dokumen dan butiran mengenai jumlah yang telah dipulihkan serta keadaan di mana dokumen atau jumlah tersebut diperoleh.

“Lebih penting lagi, penafian menyeluruh plaintif mengenai pemilikan dokumen bercanggah dengan pengakuan mereka sendiri dalam afidavit mereka. Mereka secara jelas mengakui bahawa mereka mempunyai sebahagian daripada dokumen-dokumen tersebut,”kata hakim itu.

Bagaimanapun, Hakim Mohamad Redzuan menyatakan, mahkamah tidak membenarkan Najib mendapatkan keseluruhan dokumen yang domohon kerana ia boleh menceroboh ruang lingkup rndingan sensitif negara dan perkara berkait bantuan perundangan bersama (mutual legal assistance).

“Walaupun defendan berhak kepada penzahiran (dokumen) tertentu, saya bersetuju dengan plaintif bahawa permintaan bagi “semua dokumen”, “semua surat-menyurat dalaman” dan “semua dokumen yang mengenal pasti asas fakta atau undang-undang bagi pemulihan” adalah terlalu luas dan merupakan suatu “fishing expedition” yang tidak dibenarkan,”katanya.

Selain membenarkan Najib untuk mendapatkan sebahagian dokumen, Mahkamah turut membenarkan permohonan plaintif untuk mengenakan perintah perlindungan (protective order) terhadap semua dokumen yang diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Dokumen-dokumen tersebut tidak boleh didedahkan kepada sesiapa kecuali Hakim atau Pesuruhjaya Kehakiman, kakitangan mahkamah, pihak-pihak dalam tindakan ini, serta peguam masing-masing. Dokumen-dokumen tersebut hendaklah disimpan secara sulit dan digunakan semata-mata bagi tujuan prosiding ini.

“Dokumen-dokumen tersebut tidak boleh diakses untuk pemeriksaan awam (dan) hanya versi dokumen yang telah disunting (redacted) (serta dokumen prosiding atau hujahan yang terbit daripadanya) yang disahkan oleh plaintif, boleh difailkan secara elektronik,”kata hakim itu.

Pada 7 Mei 2021, writ saman itu pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk Najib.

Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.

Selain Najib, saman itu difailkan terhadap bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

Turut dinamakan sebagai defendan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman, Azmi Tahir, Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya dilapor menggugurkan tujuh daripada 15 defendan itu.

Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN