SPRM, UNODC perkukuh kerjasama awam-swasta perangi rasuah

SPRM, UNODC perkukuh kerjasama awam-swasta perangi rasuah

AZAM Baki (tengah) ketika Majlis Perasmian Bengkel Advancing Integrity Together: Public-Private Partnership for Inclusive Anti-Corruption Reforms anjuran SPRM dengan kerjasama United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjuangan membanteras rasuah tidak boleh diserahkan kepada kerajaan semata, sebaliknya ia memerlukan komitmen kolektif termasuk sektor swasta bagi membina institusi berdaya tahan dan masyarakat beretika.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kerajaan menyediakan kuasa kawal selia manakala sektor swasta menyumbang melalui inovasi teknologi, akses data dan sumber operasi.

“Usaha memerangi rasuah menuntut komitmen berterusan, integriti tidak berbelah bahagi serta tindakan bersama.

“Kerjasama awam-swasta ini menjadi pemangkin membawa kekuatan dan tanggungjawab membina masyarakat bebas rasuah,” katanya.

AZAM Baki ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Advancing Integrity Together: Public-Private Partnership for Inculsive Anti-Corruption Reforms anjuran SPRM dengan kerjasama UNODC.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Advancing Integrity Together: Public-Private Partnership for Inclusive Anti-Corruption Reforms anjuran SPRM dengan kerjasama United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) di sini, hari ini.

Bengkel dua hari itu disertai peserta dari Brunei, Denmark, Laos, Mongolia, Myanmar, Arab Saudi dan Oman.

Beliau berkata, Malaysia terus menunjukkan komitmen memperkukuh tadbir urus dan memerangi rasuah apabila berjaya memperbaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2023 dengan naik ke tangga ke-57 berbanding ke-61 pada tahun sebelumnya.

Kejayaan itu didorong pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang mencatat kadar pencapaian 77 peratus dengan 85 daripada 111 inisiatif berjaya dilaksanakan.

SPRM juga melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang menggariskan lima strategi teras iaitu Pendidikan, Kebertanggungjawaban Awam, Suara Rakyat, Penguatkuasaan dan Insentif yang disokong 60 substrategi komprehensif.

Selain itu, SPRM turut melaksanakan pelbagai pembaharuan termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi blockchain dalam siasatan serta pemantauan bagi mendahului taktik rasuah yang semakin kompleks.

“Kerjasama dengan UNODC penting bagi menjayakan kerangka usaha global termasuk liabiliti korporat, integriti sektor swasta dan kerjasama rentas sempadan.

“Saya yakin input dan syor yang dibangkitkan dalam bengkel ini akan memberi sumbangan penting memperkukuh usaha antirasuah di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN