PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung peruntukan projek Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) termasuk perbezaan RM2.1 bilion antara peruntukan dan perbelanjaan projek berkenaan.
Wakil rakyat DAP itu turut menggesa SPRM menyiasat peranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara tersebut.
Chong berkata, laporan itu dibuat di pejabat SPRM Kuala Lumpur hari ini susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman bahawa agensi berkenaan akan menyiasat perkara itu selepas menerima aduan rasmi.
“Aduan rasmi itu kini telah dibuat. SPRM mesti menunaikan kenyataannya dan memulakan siasatan secara bebas,” katanya dalam kenyataan.
Pada 1 Oktober lalu, Abdul Halim dilaporkan berkata SPRM hanya mengetahui dakwaan berkaitan perbelanjaan KKDW itu menerusi laporan media dan belum menerima aduan rasmi untuk tindakan lanjut.
Chong berkata, siasatan perlu menentukan sama ada kontrak atau komitmen kewangan dibuat sebelum pembiayaan mencukupi diluluskan, selain meneliti kemungkinan berlaku penyalahgunaan kedudukan atau ketidakteraturan dalam urusan perolehan dan pembayaran.
Beliau turut menggesa SPRM meneliti dokumen kewangan serta kontrak berkaitan bagi menentukan bila sebarang pelarasan peruntukan diluluskan dan sama ada ia dibuat sebelum atau selepas liabiliti kontrak terkumpul.
Laporan itu dibuat selepas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Zamzuri Abdul Aziz pada 1 Oktober lalu menjelaskan isu dakwaan KKDW berbelanja melebihi peruntukan telah diselesaikan.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bentuk penyelesaian berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid sebelum ini menafikan KKDW berbelanja melebihi peruntukan diluluskan, sebaliknya menegaskan kementeriannya hanya berbelanja mengikut jumlah yang diluluskan kerajaan atau dinyatakan dalam belanjawan.
Penafian itu dibuat selepas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican memaklumkan KKDW sejak beberapa tahun lalu membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan diluluskan bagi projek jalan luar bandar. – UTUSAN










