KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin dan abangnya, Datuk Mubarak Hussain Akhtar Hussin memfailkan permohonan injunksi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghalang agensi itu mengeluarkan sebarang notis mendapatkan maklumat mengenai aset milik mereka.
Nazir Hussin dan Mubarak Hussain selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 14 Oktober lalu melalui firma guaman, Tetuan Lee & Poh Partnership di Mahkamah Tinggi di sini. Salinan dokumen terbabit diperoleh pemberita melalui carian fail mahkamah.
Semakan pada sistem mahkamah turut mendapati bahawa kes ditetapkan untuk pengurusan di hadapan Hakim Kan Weng Hin pada 19 Oktober ini.
Menurut afidavit sokongan yang difailkan oleh Nazir Hussin, SPRM telah menyerbu kediamannya dan abangnya yang masing-masing terletak di Taman Sri Gombak Heights secara serentak pada pukul 6.30 pagi, 30 September 2026.
Alasan yang diberikan oleh SPRM ketika melakukan serbuan yang berlangsung selama 12 jam itu adalah sedang menyiasat dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan pengurusan YBR, terutamanya mengenai pelaburan sebanyak RM10 juta sekitar 2020 hingga 2021.
Nazir dan abangnya juga turut ditanya mengenai dokumen-dokumen berkaitan pelaburan yang berkemungkinan disimpan di kediaman masing-masing.
Dalam serbuan itu, sebanyak 15 buah kenderaan bernilai kira-kira RM31 juta, 12 motosikal (RM5 juta), lima jam tangan, barang kemas dan sejumlah wang tunai telah dirampas oleh SPRM.
Selepas serbuan berkenaan, Nazir Hussin turut mendakwa, SPRM telah memintanya memberikan kerjasama dengan memberikan kebenaran melakukan serbuan di tiga lagi rumah miliknya yang terletak di Kuala Lumpur.
Selain itu, bekas Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa itu menyatakan telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 1 Oktober lalu. Namun, dalam tempoh tersebut, Nazir Hussin mendakwa hanya disoal mengenai pelaburan YBR sehari sahaja manakala hari-hari lain ditanya mengenai perkara yang tidak berkaitan.
Ujarnya, beliau pernah disiasat berkait perkara sama pada 2022 tetapi sehingga hari ini, tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Nazir Hussin dalam afidavitnya memberitahu, beliau difahamkan bahawa SPRM sedang menyediakan dokumen untuk menyampaikan notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM yang memberikan kuasa kepada agensi untuk memperoleh maklumat dan mengarahkan pengisytiharan harta terhadap individu yang sedang disiasat.
Beliau berkata, sekiranya notis itu dikeluarkan, tindakan tersebut hanyalah satu usaha untuk mencari-cari bukti (fishing expedition) dan melanggar hak untuk tidak menjerumuskan diri sendiri melalui keterangan yang boleh mensabitkan kesalahan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Pemohon antara lain memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Seksyen 36 adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.
Mereka turut memohon injunksi bagi menghalang pihak responden atau ejen mereka daripada mengeluarkan atau menyerahkan sebarang notis di bawah Seksyen kepada mereka dan sebarang tindakan mengeluarkan notis kepada pemohon adalah adalah satu tindakan berniat jahat.
Dua beradik itu turut memohon perintah injunksi bagi menghalang SPRM daripada melakukan apa juga percubaan untuk mendapat akses dalam apa juga bentuk sekalipun terhadap mana-mana pemohon.
Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN











