PUTRAJAYA: Warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan supaya berani mengenal pasti dan memperbaiki sebarang kelemahan dalam organisasi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, sekiranya terdapat amalan yang tidak betul, perkara itu perlu dihentikan.
“Jika terdapat kelemahan, ia perlu diperbaiki dan jika berlaku kesilapan, ia perlu diakui serta diperbetulkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan SPRM Bil. 4/2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Menurut beliau, organisasi yang kukuh bukanlah organisasi yang mendakwa dirinya sempurna, sebaliknya organisasi yang berani mengakui kelemahan dan mengambil tindakan pembaikan.
Katanya, kelemahan dalam proses seperti perolehan, pelaburan, pengurusan aset, pelantikan atau kawalan dalaman perlu dijadikan input untuk menghasilkan intervensi serta penambahbaikan tatakelola supaya perkara sama tidak berulang.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata SPRM perlu memperkukuh aspek risikan, analisis kewangan, forensik, teknologi serta kerjasama antara agensi bagi menghadapi jenayah rasuah yang semakin kompleks.
“SPRM tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah lama dan konvensional, kita mesti terus bergerak, terus maju dan terus meningkatkan keupayaan,”jelasnya.
Abd. Halim berkata, perkembangan teknologi, transaksi merentasi sempadan dan peningkatan jumlah data menuntut SPRM meningkatkan keupayaan bagi mengesan serta membongkar modus operandi baharu.
Beliau turut menggalakkan warga SPRM menambah ilmu pengetahuan dalam bidang undang-undang, teknologi, analisis data, kewangan, komunikasi dan forensik.
“Belajarlah melalui pengalaman serta kesilapan. Dunia berubah, ilmu bercambah, modus operandi turut berubah; maka kita mestilah juga mengikut perubahan.
“Pengalaman generasi terdahulu perlu digabungkan dengan tenaga, idea dan pemikiran baharu mengikut rentak generasi muda,”ujarnya.
Beliau berkata, SPRM telah menyaksikan pengendalian beberapa kes berimpak tinggi yang melibatkan perolehan dan dana awam, institusi strategik negara penguatkuasaan sempadan, pengurusan alam sekitar serta jenayah kewangan yang semakin kompleks.
“Antara yang diberi perhatian termasuk siasatan berkaitan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Felda dan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
“Selain itu, penyelewengan dana berskala besar, urus niaga saham bernilai ratusan juta ringgit serta sindiket yang mengeksploitasi sistem imigresen secara digital,”jelasnya.
Abd. Halim turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus melaksanakan tugasan penyiasatan dan menyiapkan RCI-TH, Felda serta kes berprofil tinggi lain. – UTUSAN










