PETALING JAYA: Kerajaan perlu libatkan pemain industri rokok elektronik atau vape bagi merangka penyelesaian praktikal dalam usaha mencegah penyalahgunaan produk berkenaan tanpa menjejaskan industri itu yang sedang berkembang.
Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, langkah mengharamkan penjualan vape bukanlah pendekatan terbaik kerana ia berpotensi menjejaskan usaha sedia ada dalam kawal selia industri tersebut.
Katanya, larangan tidak pernah menjadi penyelesaian berkesan dalam menangani isu penyalahgunaan, malah memburukkan keadaan dengan mendorong pengguna beralih ke pasaran gelap yang menjual produk tidak dikawal, tidak selamat dan mudah diakses oleh golongan bawah umur.
“Perlu ditegaskan industri yang sah bukan penyebab kepada penyalahgunaan vape sebaliknya pasaran gelap yang terus beroperasi di luar skop perundangan sedia ada termasuk Akta 852,” katanya semalam.
Menurutnya, tindakan mengharamkan penjualan vape secara sah hanya akan menghukum perniagaan yang bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan sekali gus menjejaskan usaha pengurangan kemudaratan yang sedang dilaksanakan di di negara ini.
Katanya, data yang direkodkan di dalam dan luar negara turut menunjukkan bahawa larangan terhadap produk berkenaan tidak mengurangkan penggunaan, sebaliknya menyebabkan berlakunya peningkatan penggunaan produk tidak sah yang lebih membahayakan.
“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, walaupun vape mengandungi nikotin diharamkan ketika itu, kira-kira 1.1 juta rakyat Malaysia dengan 4.9 peratus daripada populasi tetap menggunakan produk tidak dikawal.
“Begitu juga di Johor dan Kelantan, meskipun larangan penjualan telah dikuatkuasakan sejak 2015, penggunaan masih tinggi dengan lebih 150,000 pengguna di Johor dan lebih 30,000 di Kelantan,” ujarnya. – UTUSAN











