KKM ambil serius vape campur dadah

KKM ambil serius vape campur dadah

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil serius penemuan cecair vape mengandungi dadah sintetik yang boleh mengancam remaja dan golongan bawah umur.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu berdasarkan laporan serta bukti daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dzulkefly berkata, terdapat cecair vape yang dikesan mengandungi bahan terlarang selepas pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa.

“Pastinya serius dan kita tahu daripada laporan KDN, laporan PDRM dan bukti-buktinya.

“Setelah dibuat kajian atas penyediaan vape itu, ternyata memang ada dadah sintetik, amphetamine dan sebagainya,” katanya pada sidang media Program Cik Era Naik MRT di MRT TRX, di sini hari ini.

Beliau berkata, data rampasan PDRM berkaitan vape mengandungi bahan terlarang sehingga April lalu merekodkan 402 kes.

Katanya, antara bahan dikesan termasuk benzodiazepine, nimetazepam, methylenedioxymethamphetamine (MDMA), tetrahydrocannabinol (THC) dan methamphetamine.

Dzulkefly berkata, penemuan bahan terlarang itu membimbangkan kerana ia berisiko disalah guna oleh orang belum dewasa.

Beliau berkata, isu tersebut bukan hanya membabitkan KKM, sebaliknya turut melibatkan agensi penguatkuasaan lain termasuk PDRM.

Katanya, kerajaan sedang meneliti perkara itu termasuk cadangan tindakan lebih tegas terhadap vape.

“Dengan itu sahaja sudah satu bukti yang pastinya mengarah ke arah pengharaman vape.

“Perkara itu ada dalam pemerhatian kerajaan dan KKM juga turut bersama dalam hal itu,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN