Sindiket seludup dadah guna jalan laut tumpas

Sindiket seludup dadah guna jalan laut tumpas

MOHD. Yusri Hassan Basri menunjukkan dadah dan vape mengandungi methamphetamine bernilai hampir RM6 juta yang dirampas di perairan selatan Pulau Rimau, 17 Julai lalu, ketika sidang akhbar di Dewan PPM Wilayah 1, di Batu Uban, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sindiket penyeludupan antarabangsa menggunakan laluan laut untuk membawa bekalan dadah dari Malaysia ke Indonesia tumpas apabila dua ‘transporter’ warga Indonesia ditahan bersama dadah dan vape mengandungi methamphetamine bernilai hampir RM6 juta di perairan selatan Pulau Rimau, 17 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penahanan itu dibuat susulan Op Taring Gelora oleh Unit Risikan Marin (URM) selepas polis menerima maklumat mengenai pergerakan sebuah bot tempatan yang disyaki digunakan untuk menyeludup dadah ke negara jiran.

Beliau berkata, URM sebelum itu telah membuat rondaan sebelum berjaya mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan pemandu bot itu untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek (transporter) yang masing-masing berusia 30 dan 51 tahun itu bertindak memecut bot dengan laju dan melakukan pelbagai gerakan berbahaya bagi mengelakkan daripada ditahan sebelum bot yang mereka naiki berjaya dipintas oleh pihak URM,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan PPM Wilayah 1, di Batu Uban di sini, hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas bot itu kemudian menemukan sebanyak 113.77 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM5.69 juta yang disorokkan di dalam ruang khas pada bahagian hadapan bot serta dibungkus di dalam karung.

Katanya, selain itu, polis turut merampas 3,497 kartrij rokok elektronik (vape) mengandungi cecair disyaki methamphetamine seberat 6.3 kilogram bernilai RM315,000, selain menyita bot fiber yang digunakan sindiket menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM6.12 juta.

Mohd. Yusri berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek berperanan sebagai transporter laut yang membawa bekalan dadah dari Malaysia ke Indonesia dengan menggunakan bot fiber tempatan bagi mengaburi kegiatan penyeludupan.

“Setakat ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti dalang sindiket dan rangkaian pengedaran dadah yang terlibat. Kita percaya kedua-dua suspek menerima bayaran sekitar RM10,000 seorang bagi setiap perjalanan menyeludup dadah,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN