KANGAR: Menikmati kopi dan ubi rebus dalam suasana malam dengan tiupan angin timur mendamaikan sambil menghayati deklamasi puisi dan sajak oleh penyair tempatan.
Gabungan dua elemen itu menarik perhatian ramai yang menghadiri program Angin Timur: Puisi dan Kopi yang berlangsung di Taman Awam Lencongan 2 di sini, kelmarin.
Acara yang dianjurkan Persatuan Penulis Perlis dan Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu menampilkan ramai penyair seperti Ladin Nuawi, Abang Padeli Abang Muhi, Dr. Hanafi Ibrahim, Dr. Salleh Rahmat, Zakaria Ariffin dan Ahmad Ramli.
Penyair dari negeri ini pula adalah Basri Ramli, Sharif Shaari, Amir Sanusi Mat Desa, Bibi Baharom, Aswady Mohamed, Zalina Ahmad, Dr. Ruziah Ramli dan Subri Bahari.
Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis, Prof. Dr. Nor Hasimah Ismail berkata, program kopi dan puisi yang mengabungkan dua elemen tersebut adalah pertama kali diadakan di Perlis.
Katanya, uniknya program itu apabila orang ramai dapat menikmati kopi, hidangan seperti ubi rebus dan pelbagai lagi makanan tradisional lain sambil menghayati deklamasi puisi.
“Selain deklamasi puisi dan sajak, program ini juga diserikan dengan persembahan nyanyian. Ramai juga penyair-penyair dari Perlis yang datang dan berkumpul bersama-sama dalam menyerikan program.
“Kita mencipta sedikit kelainan dengan orang ramai yang datang menikmati kopi secara santai sambil menghayati puisi
“Selain itu, aktiviti seperti ini juga membantu memartabatkan sastera ini. Program ini juga mendapat sambutan memberangsangkan dari rakyat negeri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Program disempurnakan oleh Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Roziah Md. Yunus yang mewakili Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari.
Tambah Nor Hasimah yang turut mendeklamasikan puisi pada program berkenaan, aktiviti itu juga menarik minat golongan muda yang turut sama menyertainya.
“Dapat kita lihat gabungan orang muda dan lama dalam usaha memartabatkan sastera ini. Selain itu, kita juga membudayakan aktiviti seperti ini di kawasan pekan lama Kangar ini. Insya-Allah aktiviti seperti ini akan diadakan secara berterusan dan mungkin di lokasi-lokasi menarik lain sekitar negeri ini,” katanya. – UTUSAN










