‘Saya tidak lihat, apa lagi sembunyi Titah Adendum’

‘Saya tidak lihat, apa lagi sembunyi Titah Adendum’

DR. ZALIHA MUSTAFA (dua dari kanan) bersama warga emas pada Sesi Temu Rapat Bersama Persatuan, Wakil Masyarakat dan Organisasi Berkaitan Warga Emas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Institut Latihan DBKL di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri di­ Jabatan Perdana Menteri (Wi­layah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau tidak pernah melihat dokumen Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.

Justeru, kata beliau, tidak wajar untuk sesiapa menuduhnya menyem­bunyikan dokumen itu.

“Walaupun saya adalah salah seorang ahli Lembaga Pengampunan, saya sendiri seperti menteri-menteri lain tidak melihat dokumen yang disebut sebagai Titah Adendum itu.

“Saya juga bukan jurucakap kerajaan dalam isu ini, saya juga bukan jurucakap kepada Lembaga Pengampunan.

“Namun, ada tuduhan dilemparkan kepada saya termasuk kononnya saya menyembunyikan Adendum itu,” katanya selepas Sesi Temu Rapat bersama Warga Emas Wilayah Persekutuan di Institut Latihan DBKL, di sini, semalam.

Semalam, Dr. Zaliha berkata, butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan mengenai Najib tidak akan didedahkan kepada umum kerana ia dika­tegorikan sebagai sulit dan hak Lembaga Pengampunan.

Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang juga urus setia kepada Lembaga Pengampunan turut mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau Titah Adendum berada dalam fail atau rekod rasmi bahagian itu.

Bahagian itu juga tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara tersebut.

“Prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (Akta 88).

“Semua dokumen hanya boleh diakses oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh lembaga tersebut.

“Tiada mana-mana pihak lain tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut selaras dengan prinsip ke­rahsiaan dan integriti,” katanya.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai dan tidak mempunyai kuasa mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN