Saya tidak akan dapat pengalaman dinikahkan bapa sendiri – Erysha Emyra - Utusan Malaysia

Saya tidak akan dapat pengalaman dinikahkan bapa sendiri – Erysha Emyra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon, Erysha Emyra, mengakui mengalami serangan panik ketika menghadiri majlis perkahwinan sahabat baiknya kerana terkenang arwah bapa, Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahman.

Erysha atau Nur Erysha Emyra Zakaria, 26, berkata, perasaan itu timbul ketika menyaksikan sahabatnya yang juga pempengaruh, Sofea Shra, dinikahkan sendiri oleh bapanya.

“Alhamdulillah, sekarang saya sudah okey. Cuma, ada masanya saya masih terasa sakit dan ada kalanya emosi saya sudah stabil untuk bercakap mengenai perkara itu. Namun, perasaan itu memang datang dan pergi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Baru-baru ini, saya menghadiri majlis perkahwinan kawan baik dengan niat untuk berseronok. Namun, itu kali pertama saya menghadiri majlis akad nikah selepas pemergian arwah bapa.

“Tiba-tiba saya mengalami serangan panik sehingga terasa seperti tidak boleh bernafas. Saya kemudian keluar dari dewan seketika untuk menenangkan diri,” katanya.

Erysha ditemui pada majlis pelancaran dan sesi media drama terbaharunya, Bayangan Dendam, di Inspace KL, Bukit Jalil, di sini, Selasa.

Menurut Erysha, situasi itu mengundang sebak kerana dia sedar tidak akan berpeluang merasai pengalaman dinikahkan sendiri oleh bapanya yang meninggal dunia pada Mei lalu.

“Keadaan itu berlaku apabila saya melihat kawan baik dapat dinikahkan oleh bapanya sendiri, sedangkan saya tidak berpeluang melalui pengalaman itu.

“Selepas keluar dari dewan, saya mengambil masa untuk menenangkan diri. Saya berkali-kali mengingatkan diri bahawa itu adalah hari bahagia kawan saya.

“Saya tidak mahu menjadikan hari itu tentang diri sendiri, tetapi perasaan tersebut memang sukar dikawal.

“Beberapa rakan turut membantu menenangkan saya. Apabila sudah berasa lebih baik, barulah saya masuk semula ke dewan,” katanya.

Mengulas cara mengharungi fasa kehilangan itu, Erysha berkata, dia memilih untuk berkongsi perasaan dengan rakan serta ahli keluarga terdekat, selain mengehadkan perkongsian mengenai kesedihannya di media sosial.

“Entahlah, kesedihan ini sesuatu yang pelik. Adakalanya kita okey, adakalanya kita tidak okey.

“Saya cuba melalui proses ini sebaik mungkin dan tidak berkongsi terlalu banyak mengenainya di media sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini