KUALA LUMPUR: Beberapa calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tiba di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Antara yang dilihat memasuki bangunan berkenaan ialah calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali dan calon DUN Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood kira-kira pukul 11.30 pagi.
Kehadiran mereka untuk Majlis Penyerahan Watikah Calon BN yang akan bertanding pada PRN Melaka.
Sebelum ini, BN mengumumkan 21 calon dengan lapan daripadanya merupakan muka baharu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perbincangan khas bersama kepemimpinan MCA berhubung pembahagian kerusi selesai dengan perkembangan positif.
Beliau berkata, perbincangan itu membabitkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Ini susulan, MCA bertegas tidak mengiktiraf mana-mana calon yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa persetujuan kepemimpinan tertinggi parti.
Ka Siong berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, selain mendakwa kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diberikan kepada parti lain.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukan dua penyandang kerusi MCA yang diumumkan BN iaitu Datuk Ngwe Hee Sem bagi kerusi DUN Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang.-UTUSAN








