PETALING JAYA: Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula akhir Oktober ini berisiko membawa hujan lebih ekstrem disebabkan peningkatan suhu dunia, perubahan iklim dan pemanasan global.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini meramalkan kebarangkalian berlakunya fenomena La Nina pada tahun ini adalah pada kadar 71 peratus walaupun belum mengisytiharkannya lagi.
Felo Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang berkata, ramalan itu dikeluarkan berdasarkan keadaan corak suhu anomali permukaan laut di Lautan Pasifik menyamai fenomena La Nina.
KETIDAKSTABILAN
“Ini akan meningkatkan ketidakstabilan cuaca di rantau ini dan meningkatkan kebarangkalian hujan ekstrem termasuk ketika musim MTL.
“Pada masa sama, perubahan iklim dan pemanasan global juga meningkatkan kebarangkalian hujan ekstrem,” katanya kepada Utusan Malaysia.
MTL dijangka berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mungkin berdepan dengan MTL lebih awal iaitu pada minggu keempat bulan ini, berbanding ramalan awal susulan perubahan cuaca.
PANTAI BARAT
Mengulas lanjut, Fredolin berkata, kebiasaannya MTL berlaku di Pantai Timur, Sarawak dan Sabah namun ada kemungkinan ia juga melanda Pantai Barat seperti yang banjir besar di Selangor dan Kuala Lumpur pada Disember 2021.
Katanya, ketika MTL, Pusaran Borneo biasa berlaku dan dalam keadaan tertentu sistem ini mengukuh menjadi lekukan tropika dan bergerak ke barat dari Laut China Selatan.
Tambahnya, sistem Lekukan Tropika ini boleh menjadi hujan ekstrem di Pantai Timur dan menyebabkan banjir.
“Sistem ini kebiasaannya menjadi lemah apabila merentasi daratan Semenanjung Malaysia tetapi boleh mengukuh semula apabila berada di atas Selat Melaka, terutama apabila suhu permukaan laut tinggi dan lazimnya berlaku semasa fenomena La Nina,” katanya.
Beliau berkata, pada ketika ini cuaca di Malaysia masih dipengaruhi oleh musim peralihan monsun yang lazimnya membawa hujan lebat dan ribut petir pada sebelah petang, lewat petang dan malam terutamanya di Pantai Barat Semenanjung.
Katanya, bencana yang berkait dengan keadaan ini termasuklah banjir kilat, kejadian pokok tumbang dan kepala air.
“Dalam musim peralihan monsun juga jika berlaku ribut taufan di kawasan Filipina dan Vietnam, akan mempengaruhi keadaan cuaca di Malaysia, terutama di Sabah.
“Namun, ia boleh juga mempengaruhi cuaca di Semenanjung,” katanya. – UTUSAN










