Pelajar memandu ketika mabuk sebab dua kematian didakwa

Pelajar memandu ketika mabuk sebab dua kematian didakwa

Lim Cong Li dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had sehingga menyebabkan kematian dua lelaki. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had sehingga menyebabkan kematian dua penuntut kolej, Sabtu lalu.

Lim Cong Li, 23, yang merupakan graduan jurusan pengurusan perniagaan dan logistik itu meminta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Cong Li didakwa sebagai pemandu kereta jenis Mercedes c200 warna hitam telah memandu kenderaan tersebut dengan kadar alkohol dalam darah melebihi had yang ditetapkan iaitu sebanyak 114mg/100ml.

Perbuatannya itu didakwa dilakukan sehingga menyebabkan kematian S. Dinesh Raj serta R. Panthalaraasan masing-masing berusia 22 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Cheras dari arah Taman Midah menghala pusat bandar di sini pukul 6.43 pagi pada 10 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (akta 333) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1) akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Vincent Lawrence yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana dia telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sepanjang ditahan reman.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

“Lesen tertuduh juga digantung sementara kes ini dibicarakan,” kata Fatin Dayana.

Pada 10 Ogos lalu, media melaporkan dua penuntut kolej maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk dua motosikal di Jalan Cheras, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Akibat kejadian itu, dua lelaki masing-masing berusia 22 tahun yang juga penumpang kenderaan dilanggar disahkan meninggal dunia.

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai mabuk yang juga pemandu kenderaan masuk ke laluan bertentangan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×