PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menganjurkan program Pilih Karnival pada 27 dan 28 Julai ini sebagai platform mendekati orang ramai menerusi pelbagai aktiviti.
Pengarah Program Ishak Hashim berkata, program berkenaan yang diadakan di Galeri Jualan Kota Puteri, Batu Arang memberi peluang kepada orang ramai berkongsi pengalaman dan pengetahuan berhubung segmen hartanah serta perumahan.
Katanya, penganjuran program itu juga bagi menyebarluaskan maklumat mengenai produk hartanah PKNS.
“Orang ramai boleh melihat pameran projek hartanah PKNS iaitu Puteri Ariana dan Puteri Ariana 2.Kedua-dua projek perumahan itu berkonsepkan kediaman rumah teres dua tingkat sebagai sebahagian daripada usaha PKNS untuk memperluaskan portfolio rumah kontemporari di pusat kota itu.
“Kami juga mahu memberi pendedahan kepada pengunjung tentang binaan moden berkonsepkan teknologi hijau selaras dengan penekanan PKNS terhadap konsep kelestarian bagi menyokong amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam setiap pembangunannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ishak berkata, PKNS Pilih Program turut menawarkan hadiah bernilai RM15,000 termasuk cabutan bertuah di mana pemenang bakal membawa pulang sebuah motosikal Modenas.
Selain itu katanya, barangan keperluan asas seperti beras, gula, susu, minyak, tepung, pelbagai rangkaian produk makanan serta pelbagai barangan elektrik disediakan untuk pemenang hadiah sukan rakyat.
“Kami juga menjemput penyanyi terkenal tanah air iaitu Azlan & The Typewriter, Nuha Bahrin, Ezra Kairo & Zubir Khan.
“Turut menjadi tarikan pengunjung adalah pertunjukan laser, pertunjukan layang-layang moden, Zoo Mini, Food Truck dan gerai jualan makanan dan minuman,” katanya. – UTUSAN










