Kemajuan projek SA Sentral capai 20 peratus

Kemajuan projek SA Sentral capai 20 peratus

SA Sentral
AMIRUDIN Shari meninjau Festival Ramadan Selangor (Festira) 2026 dekat Aneka Walk, Seksyen 14, di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembangunan projek rejuvenisasi Bandar Raya Shah Alam atau SA Sentral sudah mencapai tahap 20 peratus.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, elemen-elemen penting pembangunan seperti pengubahsuaian Plaza Alam Sentral dijangka siap Jun ini manakala hotel di Plaza Perangsang pula dijadualkan beroperasi pada Ogos.

“Tahun akan datang, kita boleh gabung semua termasuk SACC Mall dan Kompleks PKNS dalam menambah kelengkapan sebagai pusat konvensyen, pusat jualan, lokasi gaya hidup dan riadah keluarga.

“Setakat ini projek SA Sentral sudah capai 20 peratus dan berada di landasan terbaik untuk selesai sepenuhnya mengikut jadual ditetapkan,” katanya selepas merasmikan Festival Ramadan Selangor (Festira) 2026 di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini, semalam.

Beliau menambah, festival tahunan Festira yang dianjurkan sejak 12 tahun lalu kali ini menghimpunkan lebih 1,000 peniaga ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

“Namun, bezanya kali ini kita ada Aneka Walk dengan pelbagai program yang disediakan kepada pengunjung. Kini, aktiviti tidak terhenti ketika berbuka puasa, tetapi bersambung pada waktu malam.

“Ia juga membantu ke arah meremajakan lagi kawasan itu sebagai lokasi tumpuan anak muda,” ujarnya.

Projek oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion di Seksyen 14 itu, dirasmikan pada 2024 dijangka akan mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

Projek berkeluasan 64.7 hektar itu meliputi pembangunan Plaza Alam Sentral, Plaza Perangsang, SACC Mall, SACC Walk, Kompleks PKNS dan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) iaitu semua bangunan akan dihubungkan antara satu sama lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN