SHAH ALAM: Pusat beli-belah, Kompleks PKNS, Seksyen 14, di sini kembali beroperasi seperti biasa apabila semua prosedur dan langkah keselamatan dipatuhi selepas insiden kebakaran melibatkan bilik unit penghawa dinginnya, semalam.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam kenyataanya berkata, punca sebenar kebakaran masih disiasat dan perkara itu akan disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas proses siasatannya selesai.
“Berdasarkan pemeriksaan awal pihak pengurusan fasiliti bangunan, kebakaran dipercayai berpunca daripada panel Air Cooled Package Unit (ACPU) yang terletak di dalam bilik Unit Pengendalian Udara (Air Handling Unit – AHU) di tingkat satu bangunan berkenaan.
“Kejadian tersebut mengakibatkan bekalan elektrik dan sistem pendingin hawa di kawasan berkenaan dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan,” katanya, hari ini.
Tambahnya, pengurusan Kompleks PKNS kemudian mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan prosedur kecemasan dengan mengarahkan pengosongan bangunan di Fasa 1 melalui sistem siar raya.
“JBPM Selangor kemudiannya berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh singkat sekali gus mengelakkan api daripada merebak ke bahagian lain bangunan,” ujarnya.
Susulan itu, PKNS mengambil tindakan pantas mengikut prosedur operasi yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengunjung, penyewa dan warga kerja.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pengunjung di pusat beli-belah itu gempar apabila melihat kepulan asap di dalam premis itu susulan berlaku kebakaran, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kebakaran membabitkan sebuah bilik penghawa dingin (AHU) di premis berkenaan. – UTUSAN










