Piring hitam jadi koleksi berharga, nilai sentimental

Piring hitam jadi koleksi berharga, nilai sentimental

MUHAMAD Aidil Fakhri Ridzwan menunjukkan koleksi piring hitam artis-artis lama yang dimilikinya di Taman Panchor Jaya, Seremban, Negeri Sembilan. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hobi mengumpul piring hitam bukanlah hanya dalam kalangan mereka yang sudah berusia namun semakin diminati generasi muda.

Begitu juga buat Muhamad Aidil Fakhri Ridzwan, 24, dari Taman Panchor Jaya di sini yang sejak usia 18 tahun sudah mula mengumpul koleksi piring hitam artis-artis tempatan.

Kata pemuda itu, minat ber­kenaan bermula dengan hanya mengumpul kaset-kaset kumpulan rock tahun 1990-an.

“Saya minat mengumpul kaset selepas diberikan oleh bapa saudara. Kemudian saya cari lagi di kampung dan me­nemukan beberapa keping pi­ring hitam, di situlah timbulnya minat.

“Sedikit demi sedikit saya mula mencari piring hitam artis yang saya minat di pasar-pasar karat dan tempat menjual barangan antik. Ada juga yang beli secara dalam talian khususnya piring hitam artis yang sukar didapati di tempat lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut pekerja swasta itu, minatnya mengumpul pi­ring hitam dan kaset lama turut didorong bapanya Ridzwan Darus, 57, yang juga merupakan peminat barangan antik.

“Sejak kecil saya sudah ikut ayah ke pasar-pasar karat dan kemudian apabila berada di dalam kereta, ayah sering putarkan lagu-lagu lama. Dari situ saya mula kenali penyanyi dan kumpulan muzik pada era itu,” katanya yang turut membe­ritahu piring hitam menyimpan lagu Bunyi Gitar nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah koleksi paling disa­yanginya.

MUHAMAD Aidil Fakhri Ridzwan menunjukkan koleksi kaset album artis-artis lama tempatan dimilikinya ketika ditemui di Taman Panchor Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Muhamad Aidil Fakhri berkata, dia akan terus dengan minatnya me­ngumpul piring hitam pada masa akan datang walaupun memerlukan sedikit belanja.

“Memang tidak terkira berapakah jumlah sudah saya belanjakan namun ini semuanya kerana minat. Walaupun sudah ada teknologi digital namun ada rasa sesuatu yang lain apabila mendengar lagu-lagu ini menerusi piring hitam.

“Ada juga lagu-lagu piring hitam ini yang jarang didengari, saya kemudian merakamnya semula dan memuat naik di Tik Tok dan menerima sambutan terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×