PH kalah, Pemuda Perpaduan perlu ambil tanggungjawab bersama

PH kalah, Pemuda Perpaduan perlu ambil tanggungjawab bersama

MUHAMAD KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pemuda Perpaduan perlu mengambil tanggungjawab bersama susulan kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin kepada wakil Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu lalu.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Muhamad Khairul Mohd Ali berkata, sebagai sebahagian daripada kerajaan yang memimpin, ketidakupayaan memperoleh segmen undi anak muda menjadi semakin kronik.

“Faktor komunikasi yang lemah menjadi antara punca utama pengundi muda tidak mendapat maklumat yang sepatutnya. Justeru, penglibatan pemimpin Pemuda Perpaduan bersama anak muda juga menjadi isu yang perlu dititikberatkan.

“Dalam hal ini, saya percaya, pengundi muda melihat Kerajaan Perpaduan tidak peduli akan aspirasi generasi muda dalam hal ekonomi dan pekerjaan walaupun pelbagai skim dan bantuan telah diberikan namun kekurangan publisiti menyebabkan ramai keciciran maklumat,” katanya di sini, hari ini.

Pada PRK tersebut, Abidin yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal mengekalkan penguasaan PN di kerusi DUN berkenaan selepas memperoleh 14,489 undi sekaligus menewaskan pencabarnya, Joohari yang sekadar meraih 10,222 undi.

Mengulas lanjut, Muhamad Khairul berkata, penstrukturan semula strategi politik daripada Pemuda Perpaduan perlu dilakukan segera agar anak muda kembali tertarik kepada Kerajaan Perpaduan.

“Antara faktor mengejut adalah peratusan masyarakat Cina keluar mengundi yang sangat minimum dalam pilihan raya kecil di Sungai Bakap telah menggariskan satu sisi gelap yang penting dalam demokrasi Malaysia.

“Segmen bukan Melayu yang sinonim menjadi deposit tetap kepada DAP terutamanya kini sudah mencapai paras minimum sokongan.

“Ini boleh disebabkan oleh beberapa faktor, seperti ketidakpuasan terhadap prestasi kerajaan semasa, kekecewaan terhadap isu nasional yang berlaku, atau mungkin keengganan untuk menyokong mana-mana parti politik dalam pilihan raya tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tumpuan kini perlu diberikan ke arah menurunkan ‘suhu’ politik perkauman dan kembali agresif menambat hati pengundi bukan melayu dengan penerangan yang tuntas dan menyeluruh.

“Pulau Pinang misalnya telah mempunyai pelbagai inisiatif dan polisi yang sangat dekat dengan rakyat namun ia tidak disambut jentera tempatan di bawah untuk menyampaikan kepada penduduk di luar bandar.

“Walaupun tewas, Kerajaan Perpaduan masih mempunyai 10,000 undi yang signifikan maka ucapan terima kasih kepada mereka yang yakin dengan calon berpendidikan serta percaya Kerajaan Perpaduan mampu lakukan sesuatu yang berkesan apabila menang kelak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN