GEORGE TOWN : DAP menafikan pemimpin utama parti itu tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu lalu sehingga menyebabkan wakil Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin kalah gara-gara kurangnya sokongan daripada pengundi Cina.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kesemua pemimpin DAP sama ada di peringkat negeri atau Pusat telah turun untuk membantu kempen Joohari, namun, mereka tidak berada di lokasi yang sama sepanjang kempen berlangsung.
“Sepanjang kempen, pemimpin (DAP) dari Pusat dan negeri hadir di Sungai Bakap pada masa yang tidak sama,
mungkin dalam acara yang berlainan. Jadi, kalau lihat siapa yang hadir, tanya Jason (H’Ng Mooi Lye) sebab dia Timbalan Pengarah PRK.
“Kita nampak Lim Guan Eng hadir, nampak Gobind (Singh Deo), Anthony Loke, Steven Sim, saya sendiri, Hui Ying…semuanya hadir memberi sokongan. Cuma, mereka bukan hadir sepenuh masa.
“Saya sendiri pun sempat hadir dalam 10 hingga 11 hari kempen dalam masa tertentu dan ia sebenarnya terpulang kepada Jawatankuasa PRK untuk atur pemimpin mengikut mana-mana acara yang sesuai dengan strategi,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow merasmikan Trak EV (kenderaan elektrik) pertama yang merentasi sempadan Malaysia di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Dominic Lau mendakwa, terdapat perpecahan dalam DAP apabila jentera kempen parti itu berpecah dua ketika PRK Sungai Bakap dengan satu kumpulan menyokong Ketua Menteri manakala satu lagi puak menyokong pemimpin lain.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, secara keseluruhannya, boleh dikatakan bahawa PH belum hilang sepenuhnya undi daripada pengundi Cina.
“Kita tidak hilang banyak, kita hilang sedikit sahaja (undi). Ada banyak faktor yang menyumbang antaranya kehadiran pengundi yang rendah, mungkin ada yang tidak pulang mengundi dan mungkin juga ada yang tidak berpuas hati,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, PH juga belum menjalankan ‘post-mortem’ mengenai kekalahan gabungan tersebut pada PRK Sungai Bakap.
“Kami belum memulakan ‘post-mortem’ kami, tetapi, terdapat banyak artikel di media yang menganalisis hasilnya.
“Sebenarnya, dalam pemerhatian saya selepas di pusat pengiraan undi, kehadiran pengundi yang rendah menyebabkan kita (PH) kehilangan kira-kira 2,500 undi. Kehilangan ini mungkin bermakna mereka adalah pengundi kita dan disebabkan mereka tidak hadir kita hilang 2,500 undi,” katanya.-UTUSAN










