BUTTERWORTH : Isu pertikaian kerusi antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor hanyalah bersifat pandangan yang disuarakan atas kapasiti negeri yang terlibat.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, dalam hal ini, keputusan muktamad hanya akan dibuat di peringkat nasional atau pusat sahaja.
“Soal pembahagian kerusi ini, itu akan dibincangkan di peringkat yang tertentu dan keputusan juga akan dibuat di peringkat yang tertinggi. Jadi, tak perlu bimbang apa-apa.
“Kita bukan berlawan dengan DAP dan DAP pun tak lawan dengan parti-parti Melayu ini. Yang menjadi isu dalam kalangan parti-parti Melayu ini ialah kerusi-kerusi yang menjadi pilihan Melayu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Ujong Batu, hari ini.
Semalam, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya berharap agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudi bersikap terbuka dengan menyerahkan sebahagian daripada kerusi yang disandang mereka kepada parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Amanah bagi menghadapi PRN Melaka dan Johor.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Khalid supaya tidak mengeluarkan sebarang amaran berhubung isu agihan kerusi tersebut, sebaliknya, mahu parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) itu fokus untuk bersaing dengan BN pada kedua-dua PRN berkenaan.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz yang juga merupakan Pengerusi Amanah Pulau Pinang berkata, pihaknya lebih mengutamakan soal perpaduan dalam kerajaan yang ada pada hari ini untuk terus diperkukuh agar dipilih menjadi kerajaan semula selepas PRU-16 nanti.
Katanya, dalam konteks Pulau Pinang, hubungan Amanah dan UMNO khususnya masih baik tanpa sebarang sengketa termasuk berkaitan perebutan kerusi.
“Amanah (Pulau Pinang) pun akan minta juga (kerusi baharu untuk ditandingi pada PRU-16). Tapi, kami (Amanah) dengan UMNO masih boleh sembang di kedai-kedai kopi. Tak ada masalah pun,” ujar beliau.
Ketika ini, Amanah tidak memiliki satu pun kerusi Parlimen di Pulau Pinang dan hanya memiliki satu daripada keseluruhan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Bayan Lepas yang disandang oleh Datuk Azrul Mahathir Aziz sejak 2018.-UTUSAN










