Amanah utamakan amanah, bukan jawatan – Mahfuz

Amanah utamakan amanah, bukan jawatan – Mahfuz

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan tanggungjawab politik tidak semestinya bergantung kepada jawatan, sebaliknya komitmen memperbaiki tadbir urus negara dan kebajikan rakyat.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, politik bagi Amanah bukan perlumbaan kerusi semata-mata, tetapi alat mengubah cara negara ditadbir.

Menurutnya, Amanah mahu bertanding secara strategik pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) untuk memperkukuh agenda reformasi, keadilan sosial dan kebajikan rakyat secara lebih berkesan.

“Soal Amanah kononnya gagal menjadi ‘parti Islam yang kuat untuk menggantikan Pas’, saya rasa itu soalan yang silap kerangka.

“Lagipun buat masa sekarang, Amanah masih meme­gang portfolio penting seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan itu membuktikan satu perkara iaitu Islam rahmah boleh mentadbir, boleh mengurus ekonomi rakyat, boleh menjaga nyawa dan keterjaminan makanan bukan sekadar berkhutbah dan menakut-nakutkan rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Amanah tidak berkecil hati susulan pelantikan individu luar memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Agama, namun mereka meng­akui berharap ia dapat diisi oleh wakil parti tersebut.

Timbalan Presiden Ama­nah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, meskipun terdapat persepsi portfolio berkaitan agama wajar diberikan kepada Amanah, hakikatnya keputusan berkenaan adalah prerogatif Perdana Menteri dan dibuat mengikut prosedur sedia ada.

Tambah Mahfuz, Amanah tidak ditubuhkan untuk menggantikan Pas, sebalik­nya membetulkan arah politik Islam agar lebih matang dan berprinsip.

Katanya, politik Islam Amanah menekankan pendekatan mendamaikan, meng­hormati Perlembaga­an serta kepelbagaian, bukan memecahbelahkan masya­rakat.

“Fokus Amanah menjelang PRU16 ialah membina keyakinan rakyat dan memikul amanah jika diberi mandat, bukan mengejar jawatan.

“Kekuatan Amanah bukan diukur pada retorik agama, tetapi pada keupayaan mentadbir dengan nilai Islam yang sebenar amanah, adil, ihsan dan bertanggungjawab,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN