PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard ditahan polis hari ini dipercayai berhubung dakwaannya mengenai isu rasuah membabitkan pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Penahanan itu dikongsi peguam Rafique Rashid yang memaklumkan, anak guamnya ditahan pada 3 petang olej Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
“Berdasarkan maklumat, penahanannya bagi siasatan berkaitan pendedahan Chegu Bard atas dakwaan isu korupsi dan rasuah oleh pegawai tertinggi TLDM.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis juga mengesahkan permohonan reman terhadap aktivis politik esok.
“Reman dibuat Mahkamah Majistret Putrajaya pada 9 pagi,” katanya. – UTUSAN










