PETALING JAYA: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Mohammad Hafizuddeain Jantan hari ini tampil membuat dua laporan polis berhubung pendedahan maklumat peribadi serta perbankan miliknya yang tular di media sosial selain penyebaran kenyataan tidak benar oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard.
Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Peguam beliau, Aizul Rohan Anuar berkata, laporan polis pertama dibuat susulan pendedahan maklumat sulit termasuk akaun dan penyata perbankan, dokumen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) serta dokumen ketenteraan yang diklasifikasikan sebagai rahsia keselamatan.
Menurutnya, pendedahan tersebut dipercayai melibatkan kebocoran daripada institusi perbankan tertentu sebelum disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan disebarkan di media sosial.
“Pemilikan dan penyebaran dokumen ini oleh orang awam adalah satu kesalahan undang-undang.
“Justeru, laporan dibuat bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan IPD Dang Wangi.
Sementara itu, laporan polis kedua melibatkan dakwaan fitnah dan penyebaran kenyataan tidak benar, khususnya berkaitan tuduhan bahawa Mohammad Hafizuddeain memiliki serta memakai jam tangan mewah jenama Patek Philippe.
Aizul Rohan menegaskan dakwaan itu adalah palsu dan mengelirukan kerana jam berkenaan merupakan jam rasmi keluaran Tentera Darat Malaysia (TDM) yang memaparkan ukiran Panglima Tentera Darat atau ‘Chief of Army’.
“Gambar bahagian hadapan dan belakang jam telah didedahkan bagi membuktikan dakwaan tersebut adalah tidak benar dan telah dimanipulasi,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan anak guamnya sedang mempertimbangkan tindakan sivil terhadap beberapa pihak termasuk institusi perbankan terlibat seperti Bank Negara Malaysia, Bank Muamalat dan Maybank, namun ia hanya akan dibuat selepas siasatan polis selesai.
Dalam pada itu, katanya, pihak polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara serius dan menyeluruh.
“Mohammad Hafizuddeain ketika ini sedang memberi keterangan dan memohon maaf kerana tidak dapat bersama media buat masa ini,” katanya. – UTUSAN










