KUALA LUMPUR: Tentera Darat dijangka menerima aset baharu termasuk empat helikopter Leonardo AW149 dalam usaha memperkukuh keupayaannya antara Ogos hingga hujung tahun hadapan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman berkata, pihaknya akan menerima empat helikopter Leonardo AW149 yang akan diperoleh menerusi sewaan kerajaan selama 15 tahun.
“Helikopter tersebut dijangka tiba bermula Ogos tahun hadapan dan akan meningkatkan kesiapsiagaan operasi sayap udara Tentera Darat.
“Sayap udara itu juga dijangka menerima empat helikopter utiliti tempur menerusi sewaan lima tahun melalui tender terbuka, susulan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk sebelum ini.
“Selain itu, Tentera Darat merancang untuk meneruskan pajakan empat helikopter AW139 yang kini dipajak oleh Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya pada sidang media selepas perbarisan Hari Tentera Darat ke-93 di Kem Sungai Besi.
Kerajaan sebelum ini memeterai pajakan selama 15 tahun bernilai RM16.6 bilion bagi 28 helikopter Leonardo AW149, yang merangkumi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), latihan, pemindahan kemahiran, insurans serta kos pembiayaan.
Selain itu, Azhan memaklumakan Tentera Darat juga dijangka menerima aset baharu iaitu meriam 155mm self-propelled howitzer (SPH) secara berperingkat mulai tahun depan. – UTUSAN










