TDM perketat kawalan di sempadan menjelang sambutan Aidiladha

TDM perketat kawalan di sempadan menjelang sambutan Aidiladha

ANTARA peserta yang menyertai Army Run 2026 di Putrajaya, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tentera Darat Malaysia (TDM) memperketat kawalan di sempadan negara bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan atau jenayah rentas sempadan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara terus terpelihara melibatkan sempadan di utara dan timur iaitu sempadan Malaysia dan Thailand.

“Kami lihat ketika waktu-waktu inilah dekat hari raya ini banyak aktiviti-aktiviti yang melanggar peraturan berlaku,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan Army Run 2026 sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-93 di sini hari ini.

Katanya, operasi sedia ada di sempadan negara juga terus dilaksanakan bagi memastikan tiada sebarang ketirisan berlaku.

Sebelum ini, Azhan dilaporkan berkata, pihaknya akan terus memperkukuh kehadiran anggota dan aset di sepanjang perbatasan bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara dan terkawal.

Menurutnya, usaha itu termasuk penggunaan dron, motosikal scrambler, kenderaan lasak pelbagai guna (ATV) serta peralatan optronik.

Pada 4 Mei lalu, TDM berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 20 ekor lembu dari Thailand dianggarkan bernilai RM225,000 dalam satu operasi di sempadan.

Terdahulu, Azhan berkata, Army Run 2026 mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 6,000 peserta terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, agensi kerajaan, sektor swasta, atlet amatur serta orang awam.

Katanya, acara ini mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif selain menjadi platform bagi merapatkan hubungan antara TDM dan rakyat melalui penglibatan komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN