PETALING JAYA: Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) cedera di bahagian kaki akibat terkena serpihan letupan ketika menjalani Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, semalam.
Menurut TDM, kejadian pada pukul 6.15 petang itu melibatkan dua anggota Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD), Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin dan Koperal Felix Franchis.
Katanya, kejadian berlaku ketika sesi latihan tembakan sedang dijalankan selepas senjata yang dikendalikan kedua-dua anggota berkenaan mengalami tersangkut (stoppage) dan gagal meletup.
“Kedua-dua anggota kemudian mengambil tindakan segera mengikut prosedur keselamatan ditetapkan bagi menangani situasi tersebut.
“Bagaimanapun, satu letupan berlaku secara tiba-tiba sehingga mengakibatkan kedua-dua anggota mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena serpihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut TDM, kedua-dua anggota diberikan rawatan kecemasan awal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan pasukan sebelum dikejarkan ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut.
“Keadaan kedua-dua anggota kini stabil dengan Mohamad Firdaus menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang ke pasukan.
“Felix pula masih menerima rawatan dan pemantauan lanjut di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya.
Dalam pada itu, TDM berkata, pihaknya menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca sebenar kejadian berkenaan secara terperinci dan menyeluruh.
Katanya, lapang sasar terbabit turut ditutup sementara bagi membolehkan proses siasatan dilaksanakan dengan lancar.
“TDM memandang serius insiden ini dan akan memastikan aspek keselamatan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan sentiasa diberikan keutamaan.
“Kami turut meminta orang ramai dan pengguna media sosial supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan selain menghormati privasi anggota terlibat serta keluarga mereka,” katanya. – UTUSAN










