Peguam Negara fail rayuan kes Che’gu Bard

Peguam Negara fail rayuan kes Che’gu Bard

CHE'GU BARD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard di akhir kes pendakwaan.

AGC dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen hari ini yang membebaskan Che’gu Bard tanpa dipanggil membela diri bagi pertuduhan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 500 kanun sama.

Katanya, pendakwaan terhadap Che’gu Bard dibuat atas kesalahan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Menurut AGC, tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah berkenaan boleh menjejaskan nama baik Seri Paduka.

“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Sesyen tersebut, jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tertuduh pada hari ini,” katanya.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×