JHEAIPP perjelas isu penganjuran pertandingan bola sepak guna dana masjid

JHEAIPP perjelas isu penganjuran pertandingan bola sepak guna dana masjid

MARZUKI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Selepas terpalit dengan isu penggunaan wang zakat untuk tujuan pembelian tanah, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid kini berdepan pula dengan satu lagi isu iaitu penyalahgunaan wang dana masjid untuk penganjuran satu pertandingan bola sepak.

Isu itu dibangkitkan menerusi satu hantaran di Facebook oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard sebelum ia menjadi tular di media sosial ketika ini.

Bagaimanapun, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tampil membuat kenyataan untuk menafikan dakwaan tersebut dan memperjelaskan isu berkenaan.

Pengarah JHEAIPP, Datuk Marzuki Hassan berkata, penganjuran pertandingan bola sepak yang diberi nama Piala TKM I Pulau Pinang itu tidak menggunakan dana masjid, sebaliknya, ia dibiayai menerusi peruntukan khas pengimarahan masjid berjumlah RM1 juta yang disalurkan oleh kerajaan negeri tahun lepas.

“Peruntukan tersebut diagihkan kepada beberapa institusi termasuk Masjid Negeri Pulau Pinang serta masjid-masjid daerah bagi memastikan program pembangunan komuniti dan pengimarahan dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai cadangan menamakan pertandingan itu sebagai Piala TKM 1 pula, beliau berkata, cadangan tersebut datang daripada pihak JHEAIPP sendiri memandangkan Mohamad sendiri merupakan Exco Pembangunan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang, selaras dengan peranan dan portfolio yang disandang.

Katanya, sebelum ini, pendekatan aktiviti sukan antara masjid pernah dilaksanakan di peringkat negeri sebagai platform mengeratkan hubungan komuniti serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Islam.

“Bagi menjayakan kejohanan berkenaan, lima masjid telah menyumbang sebahagian daripada peruntukan pengimarahan masing-masing dengan jumlah keseluruhan RM30,131.30 manakala kerajaan negeri pula mengekalkan jumlah peruntukan sama iaitu RM1 juta bagi tahun 2026 untuk tujuan pengimarahan masjid.

“Penganjuran ini (pertandingan bola sepak) adalah sebahagian daripada usaha memperluas fungsi masjid sebagai pusat pembangunan ummah yang menyeluruh, merangkumi aspek rohani, sosial dan pembinaan jati diri generasi muda,” ujar beliau. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN