GEORGE TOWN : Ibu kepada lelaki yang meninggal dunia selepas dilaporkan hilang bulan lepas iaitu Salmah Samsudin, 72, disahkan layak menerima bantuan zakat sebagai asnaf bagi meringankan beban keluarga selepas kehilangan anak lelakinya, Shahir Zainul selain perlu menjaga dua orang cucu yang masih kecil.
Timbalan Ketua Menteri I yang juga Pengerusi Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, bantuan tersebut meliputi saraan bulanan serta bantuan sekali beri (one-off) sebaik proses dokumentasi selesai.
Menurutnya, hasil lawatan ke rumah keluarga berkenaan mendapati, keadaan mereka amat memerlukan bantuan memandangkan dua anak Allahyarham yang masing-masing berusia 13 dan 15 tahun dibesarkan oleh nenek mereka yang kini berusia 72 tahun.
“Mengikut prosedur biasa zakat, keluarga ini perlu melengkapkan dokumen terlebih dahulu sebelum bantuan disalurkan. Jadi, apa yang boleh kita bantu ialah, beri bantuan sekali pada peringkat awal dan saraan bulanan bagi membantu menampung kehidupan mereka,” katanya selepas mengunjungi rumah keluarga itu di Bukit Gedung di sini, petang semalam.
Beliau berkata, kadar saraan bulanan yang dicadangkan adalah sekitar RM500 sebulan bagi membantu perbelanjaan harian keluarga tersebut dan bantuan itu disalurkan kepada ibu Allahyarham selaku penjaga yang menguruskan kehidupan dua cucunya selepas bapanya meninggal dunia.
“Layak sebagai asnaf kepada ibu Allahyarham untuk mengurus kehidupan dua orang cucunya. Alhamdulillah, rumah pun ada dan urusan pinjaman telah selesai. Jadi, saraan bulanan lebih kurang RM500 sebulan itu diharap dapat membantu mereka meneruskan kehidupan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berharap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terus memantau kebajikan keluarga berkenaan termasuk memastikan kedua-dua remaja itu meneruskan persekolahan.
“Kita minta juga supaya MPKK pastikan bahawa dua orang anak ini terus bersekolah kerana mereka kini masing-masing telah berusia 13 dan 15 tahun,” katanya.
Mengulas tempoh penyaluran bantuan pula, Mohamad berkata, sekiranya semua dokumen dapat dilengkapkan dalam tempoh kira-kira dua minggu, bantuan dijangka mula disalurkan pada Ogos ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Rozita Ibrahim ketika dihubungi berkata, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Barat Daya telah mengunjungi keluarga itu Selasa lalu bersama wakil MPKK Bukit Gedung bagi menilai keadaan semasa serta mengenal pasti keperluan bantuan.
Katanya, sempena kunjungan singkat itu juga, wakil PKMD Barat Daya telah menyerahkan Tabung Bantuan Segera Negeri (TBSN) berjumlah RM300 secara sekali bayar kepada keluarga terbabit selain sumbangan bakul makanan yang disalurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan nasib keluarga itu.
Shahir sebelum ini disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut di Hospital Pulau Pinang pada 11 Jun lalu, selepas dilaporkan hilang ketika keluar ke kebun durian pada 10 Jun. Kematiannya pula hanya diketahui keluarga selepas hospital menghubungi mereka berhubung mayat yang tidak dituntut. – UTUSAN










