Mohamad tidak perlu letak jawatan - Kon Yeow

Mohamad tidak perlu letak jawatan – Kon Yeow

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tiada keperluan untuk Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berundur susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan dana zakat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata, keputusan untuk meletakkan jawatan terpulang sepenuhnya kepada individu terbabit dan ia tidak seharusnya dipengaruhi oleh tekanan luar ketika siasatan kes masih berjalan.

“Jadi, tidak ada keperluan untuk sesiapa pun berundur pada peringkat ini. Biarlah SPRM jalankan siasatan. Semua keputusan berhubung peletakan jawatan terpulang kepada pihak yang berkenaan,” katanya kepada pemberita di Bayan Lepas, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mendakwa, isu berkaitan dana zakat berkenaan melibatkan penyalahgunaan kuasa serta amalan pelantikan yang tidak adil dalam institusi di bawah seliaan Mohamad.

Sehubungan itu, Pas negeri menggesa Mohamad meletakkan jawatan daripada semua kedudukan yang berkaitan dengan pentadbiran dan kepimpinan institusi agama Islam.

Kon Yeow berkata, isu berkenaan sebenarnya telah dibangkitkan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada November lalu, dan penjelasan telah diberikan oleh Dr. Mohamad ketika itu.

“Pada ketika itu, soalan telah dijawab dan pihak yang membangkitkan isu tersebut menerima penjelasan mengenai penggunaan dana berkenaan berdasarkan pertimbangan jabatan-jabatan berkaitan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri tidak perlu mencampuri atau mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM, sebaliknya, hanya akan menunggu hasil siasatan yang dijalankan.

Mengulas mengenai gesaan peletakan jawatan, Kon Yeow menyifatkan perkara itu sebagai tidak praktikal dan berlebihan.

“Kalau ikutkan di Malaysia ini, setiap hari ada orang meletakkan jawatan. Nanti yang sibuk adalah rakan-rakan media kerana setiap hari akan ada berita peletakan jawatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN