SERDANG: Tindakan seorang ‘tokan’ dadah menyimpan bahan larangan itu di dalam sebuah kenderaan yang diubah suai terbongkar selepas dia diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Puchong, Selangor, Isnin lalu.
Hasil penahanan suspek berusia 36 tahun itu menemukan satu ruang khas di bahagian belakang kerusi penumpang sebuah kereta yang direka bagi menyimpan dadah sebelum dijual kepada pelanggannya.
Ruangan berkenaan hanya boleh dibuka menggunakan kad akses sebagai taktik untuk mengaburi polis sekiranya ditahan untuk pemeriksaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, rumah dua tingkat yang diserbu turut dijadikan stor penyimpanan dan proses pembungkusan dadah, dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.
Kata beliau, hasil serbuan itu menemukan 71 bungkusan plastik mengandungi dadah dipercayai jenis ketamin seberat 73.1 kilogram (kg).
“Selain itu, polis menemukan 300 bungkusan plastik yang mengandungi dadah dipercayai jenis syabu seberat 308 kg dianggarkan bernilai RM13.5 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini hari ini.
Kok Chin berkata, tempat penyimpanan khas yang direka di kerusi penumpang itu dipercayai mampu menyimpan sekitar 80 kg dadah dalam satu-satu masa.
Kata beliau, jika mengikut spesifikasi asal kerusi penumpang kereta itu tidak boleh ditarik, namun modifikasi telah dibuat bagi membolehkan dadah disimpan di bahagian tersebut.
“Bukan itu sahaja, bonet kereta jenis Hyundai Sonata itu dipenuhi dengan alat pembesar suara bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Selalunya pemeriksaandibuat pada bahagian bonet kereta, tetapi ruang itu telah dipenuhi dengan pembesar suara sekali gus menyukarkan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan sekiranya dia ditahan,” katanya.
Menurut beliau, suspek dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini dan telah empat kali membuat penghantaran dadah di sekitar Lembah Klang.
Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing adalah negatif.
Menurutnya, suspek menerima upah sebanyak RM6,000 bagi proses membungkus dan mengedar dadah.
“Ketika ini, polis masih mengesan individu menyewa rumah dua tingkat di Puchong itu bagi dijadikan stor penyimpanan dadah.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222,” ujarnya.
Kata beliau, kesemua dadah yang dirampas ini boleh menampung keperluan 1.8 juta orang penagih. – UTUSAN







