KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengesan 11 kes penyelewengan diesel menerusi Ops Tiris 3.0 sejak 1 Januari sehingga semalam.
Pengarah KPDN negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, lapan individu warga tempatan telah ditahan manakala rampasan diesel, aset dan peralatan lain pula bernilai lebih setengah juta ringgit.
Beliau berkata, sebanyak 11 kertas siasatan itu membabitkan empat kes di Kuala Terengganu, tiga kes di Besut dan masing-masing dua kes di Kemaman dan Dungun.
“Bermula 1 Januari lalu, KPDN Terengganu telah melakukan pemeriksaan di 905 lokasi di seluruh Terengganu dan mengesan 11 kes kesalahan melibatkan penyelewengan minyak diesel.
“Dalam tempoh itu lapan individu warga tempatan dicekup selain rampasan dan sitaan minyak diesel, aset serta peralatan berjumlah keseluruhan RM560,284.11,” katanya.
Saharuddin berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan kesan penyasaran subsidi diesel Ops Kesan 2.0 di sebuah stesen minyak di Kuala Ibai di sini, hari ini.
Mengulas mengenai Ops Kesan 2.0, beliau menjelaskan, tiada aduan berhubung kenaikan harga barang dan perkhidmatan menerusi pemeriksaan di 170 stesen minyak sejak 2 Mei lalu.
Bagaimanapun Saharuddin berkata, sebanyak 15 notis bertulis telah dikeluarkan melibatkan 45 jenis perkhidmatan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga Barang dan Antipencatutan 2011.
“Menerusi Ops Kesan 1.0 yang lalu, KPDN negeri mengeluarkan 60 notis pengesahan maklumat barangan membabitkan kenaikan cukai perkhidmatan serta rantaian berkaitan,” tambahnya. – UTUSAN










