KUALA NERUS: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan sebanyak 99 notis atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Cakna di daerah ini bermula semalam sehingga hari ini.
Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong, kesemua notis berkenaan dikeluarkan selepas memeriksa sebanyak 78 premis kedai makan membabitkan nilaian kompaun RM24,050.
Beliau berkata, objektif Ops Cakna dibuat bertujuan meningkatkan kesedaran melalui aktiviti penguatkuasaan undang-undang kesihatan dan menambah tahap kesihatan masyarakat.
Ujarnya, notis dikeluarkan dibawah tiga akta iaitu Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 serta Akta Makanan 1983.
“Operasi seumpama ini dilaksanakan secara berkala di setiap daerah dan bagi siri kedua di Kuala Nerus, 70 pegawai dan anggota penguatkuasaan terlibat selama dua hari bermula semalam.
“Daripada 99 notis yang dikeluarkan, 49 daripadanya adalah kesalahan di bawah peraturan Akta Makanan 1983, 47 notis di bawah PPKHT 2004 dan tiga notis kesalahan di bawah APSPP 1975.
“Selain itu, dua premis turut diarah tutup 14 hari tetapi pemilik boleh memohon pemeriksaan semula lebih awal jika sudah mematuhi arahan JKNT,” katanya di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Kasemani memberitahu, pemeriksaan selama dua hari itu turut menemukan seorang pengendali kedai makan dan 11 pekerjanya tidak memiliki suntikan anti-tifoid.
“JKNT ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan dan mencegah risiko pendedahan penyakit,” tambah beliau. – UTUSAN










