PETALING JAYA: Dakwaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengutamakan atau mengambil calon daripada ‘kelas belakang’ untuk menyertai profesion kejururawatan adalah tidak benar, mengelirukan dan menjatuhkan maruah profesion itu.
Pengerusi Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia, Muhammad Julihan Kamari berkata, pengambilan bakal jururawat melalui SPA mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) berpandukan piawaian ketat yang ditetapkan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Katanya, proses pengambilan bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik, malah melibatkan ujian psikometrik dan sesi temu duga berstruktur.
“Proses pengambilan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, malah melibatkan ujian psikometrik dan sesi temu duga berstruktur untuk menilai sahsiah, ketahanan mental, empati serta minat mendalam calon terhadap bidang kejururawatan.
“Profesion kejururawatan menuntut pembelajaran teori yang mencabar serta latihan klinikal beratus-ratus jam sebelum seseorang jururawat diiktiraf dan didaftarkan di bawah LJM.
“Dakwaan bahawa profesion ini boleh diceburi secara ‘mudah’ atau tanpa kualiti akademik adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Julihan, ramai jururawat termasuk jururawat lelaki bukan sahaja memiliki Diploma Kejururawatan, malah menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, sarjana hingga doktor falsafah (PhD) dalam pelbagai kepakaran kejururawatan.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru masyarakat supaya tidak membuat andaian melulu atau memperlekehkan profesion tersebut berdasarkan kedudukan kelas ketika persekolahan.
“Prestasi dan sumbangan seseorang jururawat dinilai berdasarkan dedikasi, kemahiran serta kelayakan ikhtisas mereka dalam menyelamatkan nyawa pesakit.
“Pihak kami menasihati pengguna media sosial agar lebih bertanggungjawab dan menghentikan penularan naratif negatif yang boleh mengikis kepercayaan awam terhadap sistem perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.
Sebelum ini, tular hantaran di media sosial yang mendakwa SPA mengutamakan atau mengambil calon daripada ‘kelas belakang’ untuk menyertai profesion berkenaan. – UTUSAN










