KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan 14 pemandu bas yang didapati menggunakan barang terlarang dalam tempoh 21 hari Ops Khas Tahun Baru Cina yang dijalankan sepanjang bulan ini di seluruh negara.
Antara bahan terlarang yang dikesan digunakan adalah seperti syabu, methamphetamine dan ganja jenis tetra hydrocannibol (THC).
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan pengangkutan awam (KPA) itu dijalankan dengan kerjasama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Hasil daripada ujian air kencing yang dijalankan bersama AADK mendapati terdapat 14 kes pemandu KPA yang menggunakan bahan terlarang.
“JPJ juga akan menggantung lesen pemandu berkenaan di bawah Seksyen 36 Akta 333 setelah pengesahan lanjutan diperolehi daripada pihak AADK bagi mengelakkan pemandu ini terus menggunakan kenderaan perkhidmatan awam,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Ops Motosikal, KPA, dan kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) di jalan Gambang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lokman berkata, pihak JPJ akan memanggil syarikat pengendali bas terbabit dan laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan di bawah Akta 715.
“Kebanyakkan pemandu yang menggunakan bahan terlarang ini adalah pemandu perjalanan jarak jauh yang mana mereka ditahan di terminal sebelum memulakan perjalanan menerusi pemeriksaan yang dijalankan dalam operasi sebegini dan kita juga akan terus sekat pemandu terbabit dari terus memandu serta menggantikan pemandu lain.
“Kita juga menjalankan pemeriksaan di semua terminal seluruh negara setiap hari dan setiap perjalanan selain turut menjalankan penyamaran di dalam setiap bas bagi mendapatkan maklumat,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, JPJ kini dalam usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya dengan meneruskan aktiviti penguatkuasaan berfokus di fasa dua Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024 dan cuti persekolahan sehingga 29 Februari ini.
Katanya, ops khas fasa dua terbabit memfokuskan kepada pematuhan syarat dan peraturan keselamatan kenderaan komersial, serta kenderaan di pandu dengan selamat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Menerusi Ops Khas yang dilaksanakan dalam tempoh 21 hari ini, JPJ telah memeriksa sebanyak 21,705 KPA di mana dari jumlah tersebut, sebanyak 1,181 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.
“Justeru itu kita menyeru kepada semua pengusaha perkhidmatan awam supaya terus mematuhi peraturan bagi memastikan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – UTUSAN










