Ops Pantau: Sembilan kes pelbagai kesalahan dikesan - Utusan Malaysia

Ops Pantau: Sembilan kes pelbagai kesalahan dikesan

SAHARUDDIN Mohd. Kia (tiga dari kanan) meninjau harga barangan mentah di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengesan sembilan kes pelbagai kesalahan sepanjang Ops Pantau dilaksanakan di seluruh negeri itu sejak 12 Mac lalu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 1,806 premis di seluruh Terengganu setakat 4 April lalu.

Menurutnya, daripada sembilan kes itu, lima kes adalah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Selain itu, dua kes lagi adalah kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan masing masing satu kes dibawah Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pemeriksaan yang dijalankan dalam Ops Pantau memberi fokus terhadap bekalan barangan, harga barang, jualan murah, alat timbangan, barang tiruan dan pematuhan perundangan halal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Negeri Terengganu di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 118 anggota penguat kuasa KPDN Terengganu dan 58 pegawai pemantau harga telah menjalankan pemantauan serta pemeriksaan harga sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, antara premis yang diperiksa termasuk bazar Ramadan, pasar raya, pasar awam dan kedai runcit di seluruh Terengganu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pegawai
penguat kuasa dan pegawai pemantau harga akan terus memeriksa tahap pematuhan peniaga sepanjang skim ini berlangsung.

“Semua peniaga perlu mematuhi harga yang ditetapkan dengan melabelkannya dengan tanda harga berwarna merah jambu.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diambil tindakan denda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala untuk syarikat, boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN