WASHINGTON: Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) sedang memantau rapi aktiviti di sebuah beting yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.
Tindakan itu dibuat susulan kebimbangan China mungkin sedang meletakkan asas bagi kehadiran yang lebih kekal di salah satu titik panas maritim paling sensitif di rantau itu.
Langkah tersebut berpotensi meningkatkan lagi ketegangan dengan Filipina dan menguji komitmen Washington terhadap sekutu perjanjiannya itu.
Menurut pegawai AS yang mengetahui maklumat perisikan berkenaan, penganalisis sedang meneliti beberapa operasi maritim China berhampiran Beting Scarborough.
Ia merupakan sebuah pulau karang tidak berpenghuni tetapi mempunyai kedudukan strategik kira-kira 225 kilometer di barat Pulau Luzon, Filipina.
Pegawai berkenaan berkata, kerajaan China telah memasang apa yang digelar Beijing sebagai ‘struktur saintifik’ di tengah-tengah terumbu berkenaan, sekali gus mencetuskan kemarahan Filipina.
AS dilaporkan sudah berhubung dengan kerajaan China berkenaan struktur tersebut. Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) menegaskan struktur itu bukan untuk kegunaan ketenteraan, namun pegawai Beijing juga tidak menolak sepenuhnya kemungkinan sebahagian kemudahan itu boleh digunakan oleh PLA.
Beting Scarborough, yang dikenali sebagai Bajo de Masinloc di Filipina dan Huangyan Dao di China, terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Filipina di Laut China Selatan.
Namun, Beijing mengekalkan kehadiran berterusan di kawasan itu selepas mengambil kawalan de facto susulan kebuntuan dengan Manila pada 2012. – AFP










