Ejen persekutuan AS serbu rumah wakil rakyat anti-Trump - Utusan Malaysia

Ejen persekutuan AS serbu rumah wakil rakyat anti-Trump

ILHAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ejen-ejen persekutuan Amerika Syarikat (AS) menggeledah kediaman wakil rakyat Parti Demokrat, Ilhan Omar di Washington pada Isnin sebagai sebahagian daripada siasatan jenayah, kata pegawai rasmi sekali gus menandakan peningkatan ketegangan dalam perselisihan antara Presiden AS, Donald Trump dan ahli parlimen lantang itu.

Penggeledahan yang dilakukan tiga minggu sebelum pilihan raya pertengahan penggal bagi menentukan penguasaan Kongres itu dijalankan oleh ejen Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri (HSI), iaitu cabang penyiasatan penguatkuasaan imigresen AS, menurut laporan Fox News yang memetik sumber.

Rangkaian televisyen kabel itu melaporkan bahawa operasi berkenaan berkaitan dengan siasatan penipuan jenayah berhubung dokumen imigresen yang dikemukakan bagi pihak ahli parlimen kelahiran Somalia itu oleh arwah bapanya semasa beliau masih kanak-kanak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua penguatkuasaan sempadan Trump, Tom Homan memberitahu Fox News bahawa beliau tidak berhasrat untuk memberikan maklumat terperinci sebelum sebarang pengumuman rasmi tetapi mengesahkan bahawa siasatan telah berlanjutan sekian lama dan satu waran telah dilaksanakan pagi Isnin.

Media AS memetik Jabatan Kehakiman (DOJ) mengesahkan bahawa ejen telah melaksanakan waran geledah yang diluluskan oleh mahkamah di kawasan Washington.

Namun, pegawai tidak mendedahkan identiti Ilhan atau sifat siasatan secara terperinci.

“Hari ini di kawasan Washington DC, Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri telah melaksanakan waran geledah yang diluluskan oleh mahkamah dan diperoleh menerusi DOJ. Tindakan penguatkuasaan ini merupakan sebahagian daripada siasatan persekutuan yang sedang berjalan,” kata jurucakap DOJ kepada Fox News Digital.

Pemeriksaan itu dilaporkan bermula sekitar jam 6 pag waktu tempatani, dengan beberapa ejen yang memakai jaket HSI kelihatan berada di luar kediaman Ilhan di Washington, menurut Fox News.

Ilhan, 44, merupakan ahli parlimen Demokrat berfahaman kiri dan pengkritik tegar Trump terutamanya berhubung tindakan tegas pentadbirannya terhadap isu imigresen.

Presiden daripada Parti Republikan itu telah berulang kali berselisih faham dengan Ilhan yang berhijrah ke AS dari Somalia semasa kecil dan sering menjadi sasaran serangan politiknya.

Pada September lalu, Homan berkata, Ilhan merupakan subjek dalam siasatan jenayah yang sedang dijalankan, tetapi enggan mengulas lanjut.

Ilhan pada ketika itu menyatakan bahawa pegawai Keselamatan Dalam Negeri tidak pernah menghubunginya berhubung sebarang siasatan dan menolak dakwaan terhadapnya sebagai serangan berunsur politik.

Tiada maklum balas terbuka serta-merta daripada Ilhan berhubung penggeledahan pada Isnin itu. 

Agensi berita AFP telah berusaha mendapatkan ulasan daripada pejabat beliau serta pentadbiran Trump.

Ilhan mula dipilih ke Kongres pada 2018 dan mewakili kawasan pilihan raya yang merangkumi Minneapolis, lokasi yang menempatkan antara komuniti terbesar masyarakat Somalia di AS. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini