Sembilan tahun duduk di Malaysia, baru hari ini ditahan

Sembilan tahun duduk di Malaysia, baru hari ini ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seorang pemandu treler warga India yang mengaku sudah sembilan tahun berada di Malaysia ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor selepas didapati memandu tanpa lesen sah dan tidak memiliki dokumen pekerjaan yang sah.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan dalam Ops Kenderaan Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah utara, di sini hari ini.

Ketika ditahan, lelaki berkenaan memberikan pelbagai alasan termasuk mendakwa hanya mahu mencari rezeki dengan menerima upah RM60 bagi setiap perjalanan.

“Sudah sembilan tahun saya tinggal di Malaysia, tetapi baru dua tahun memandu treler. Kali ini nasib tidak baik kerana ditahan,” katanya ketika ditemui media.

Menurutnya, dia mampu melakukan tiga hingga empat perjalanan sehari dengan membawa bahan binaan dari Puncak Alam ke Kepong.

“Saya menerima RM60 bagi setiap perjalanan dan pendapatan sebulan boleh mencecah kira-kira RM4,000,” katanya.

Pemeriksaan mendapati lelaki terbabit hanya memiliki pasport antarabangsa dan dipercayai tinggal di negara ini tanpa dokumen sah sejak sembilan tahun lalu.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, lelaki itu antara individu yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersasar berkenaan.

Katanya, treler yang dipandunya bersama sebuah lagi kenderaan turut disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tindakan segelintir majikan atau pemilik kenderaan mengupah warga asing tanpa lesen sah demi mengaut keuntungan amat tidak bertanggungjawab.

“Tindakan sebegini membelakangkan undang-undang serta mempertaruhkan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya selepas operasi di R&R Rawang arah utara.

Dalam operasi selama dua hari bermula Isnin lalu di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), dari Shah Alam hingga Tanjung Malim, sebanyak 33 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan saman.

Antara kesalahan dikesan ialah menggunakan lorong paling kanan secara berterusan, yang boleh mengganggu aliran trafik serta meningkatkan risiko kemalangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×