KUALA NERUS: Jumlah kenderaan yang melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 di Terengganu sempena musim perayaan Aidiladha sejak 13 Jun sehingga hari ini meningkat lebih dua kali ganda.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin, berkata, sejumlah 56,954 buah kenderaan keluar masuk di LPT2 pada Khamis dan jumlah itu bertambah kepada 64,955 buah pada Jumaat.
Mohd. Khairi menjelaskan, kemuncak kesesakan aliran trafik adalah pada Sabtu iaitu semalam apabila sebanyak 75,081 buah kenderaan direkodkan melalui LPT2 di negeri itu.
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding sekitar 20,000 pada hari biasa namun aliran trafik masih terkawal dengan 50 pegawai dan anggota trafik ditempatkan di sepanjang lebuhraya.
“Pengguna jalan raya dilihat sudah merancang perjalanan lebih awal sekaligus membantu kelancaran trafik tanpa berlaku kesesakan luar biasa seperti hari raya puasa” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika meninjau pergerakan keluar masuk kenderaan sempena perayaan Aidiladha di susur keluar LPT2 di Plaza Tol Kuala Terengganu, Kampung Gemuruh, di sini, hari ini.
Mohd. Khairi berkata, sejak Ops Lancar dilaksanakan bermula 14 Jun, polis kontinjen Terengganu merekodkan empat kematian maut daripada tiga kes kemalangan iaitu tiga di Kuala Terengganu dan satu di Besut.
“Empat kes kemalangan maut itu direkodkan di jalan persekutuan dan pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati memandu kerana bilangan kenderaan didapati masih bertambah,” jelas beliau.
Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Mohd. Zharif Masduqi Hashim, 27, berkata, tiada kesesakan luar biasa sepanjang perjalanannya dari Petaling Jaya, Selangor menuju ke negeri ini.
“Memang jumlah kenderaan di atas jalan raya bertambah berbanding kebiasaan tetapi aliran trafik dilihat terkawal dan tiada kesesakan luar biasa seperti musim perayaan Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN










