JAKARTA Lebuh Raya Tol Trans Sumatera (JTTS) laluan Palembang-Prabumulih ditutup sementara berikutan jerebu tebal yang dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah di sekitar kawasan berkenaan.
Jerebu menyelubungi kawasan pondok tol Palembang di wilayah Pemulutan, Sumatera Selatan hari ini.
Menurut laporan Antara, PT Hutama Karya (Persero) selaku pengendali lebuh raya tol itu melakukan penutupan sementara kerana jarak penglihatan pemandu amat terhad.
Keadaan tersebut menyebabkan petugas lebuh raya tol berkawal di sekitar pondok tol bagi mengelakkan kemungkinan berlaku kemalangan.
Sejumlah kenderaan dilihat beratur dan menunggu di sekitar pondok tol sehingga laluan berkenaan dibuka semula.
Namun, sebahagian pemandu memilih untuk berpatah balik dan mencari laluan alternatif.
Kebakaran hutan yang telah memusnahkan kawasan luas di Sumatera dan Borneo, menyebabkan jerebu tebal yang menyesakkan pernafasan dan merebak merentasi sempadan ke Malaysia, Singapura serta Filipina. – AGENSI










