NIBONG TEBAL : Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail memberitahu bahawa dia telah bertemu kira-kira 50 peratus atau separuh daripada pengundi di Sungai Bakap ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu memasuki hari ketujuh, semalam.
Menurut Abidin, beliau selesa untuk bersemuka dan menyantuni pengundi malah sambutan yang diterima juga amat positif setakat ini.
“Selain itu, jentera semua parti komponen dalam PN pula sudah mendekati lebih 80 peratus pengundi di kawasan putih dan kelabu. Kita percaya jumlah ini akan dapat ditingkatkan atau diselesaikan sebelum tiba hari mengundi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita malam tadi selepas berucap sempena Ceramah Perdana PN bagi PRK berkenaan di Unit Daerah Mengundi (UDM) Puteri Gunung 2, Simpang Ampat di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Abidin berkata, isu kos sara hidup selain kenaikan tarif air menjadi dua kegusaran utama yang dilontarkan oleh penduduk setempat.
“Kalau kita lihat ‘mood’ rakyat, kebanyakannya terkesan dengan isu ini dan Insya-Allah kita akan berusaha menanganinya. Doakan PN kekal di Sungai Bakap,” kata beliau.
Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Abidin dengan calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin.
Pilihan raya tersebut terpaksa diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff daripada PN pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.
Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal sebelum ini memenangi kerusi DUN Sungai Bakap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN










