Mooi Lye sangkal dakwaan DAP gagal dekati pengundi Cina

Mooi Lye sangkal dakwaan DAP gagal dekati pengundi Cina

H'NG MOOI LYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : DAP menyangkal dakwaan yang dibuat seorang veteran UMNO semalam yang menuduh parti itu gagal mendekati pengundi Cina sehingga menyebabkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Bakap, kelmarin.

Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, H’Ng Mooi Lye berkata, tuduhan daripada veteran terbabit iaitu Datuk Mustapha Yaakub itu adalah satu perkara yang tidak boleh diterima buat masa ini.

“Semua parti komponen Kerajaan Perpaduan-PH telah bertungkus-lumus dan memberikan sokongan padu kepada calon PH dalam PRK di DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap ini.

“Tidak kurang pemimpin-pemimpin DAP yang turun berkempen ke Sungai Bakap untuk membantu tanpa lelah sepanjang tempoh kempen,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Mustapha menyalahkan DAP atas kekalahan PH dalam PRK di Sungai Bakap dengan memberitahu, UMNO telah melakukan yang terbaik untuk membantu PH, namun, mendakwa, DAP bagaimanapun gagal untuk berbuat demikian.

Pada PRK berkenaan, calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail mengekalkan penguasaan parti gabungan itu di kerusi Sungai Bakap selepas memperoleh majoriti 4,267 undi apabila menerima 14,489 undi berbanding Joohari yang sekadar meraih 10,222 undi.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, keputusan PRK Sungai Bakap telah menunjukkan siapa calon yang menjadi pilihan pengundi di Sungai Bakap ketika ini.

“Kita harus menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pengundi dan terus berusaha membawa perubahan yang baik serta meyakinkan rakyat dan bukannya membuat tuduhan serta menyalahkan mana-mana pihak.

“Gelombang perubahan yang sedang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan pada masa ini dilihat sukar diterima dan mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan tetap akan memperhebatkan usaha membela nasib rakyat, melaksanakan dasar demi manfaat rakyat agar semuanya dapat merasai pembaharuan yang dibawa oleh mereka.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Perpaduan juga akan menggandakan usaha dan mendengar suara akar umbi supaya dapat tingkatkan perkhidmatan kepada rakyat bagi mendapatkan semula keyakinan dan sokongan rakyat,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×