LOS ANGELES: Pelakon, Selma Blair bersuara selepas berdepan tuduhan menyerang beberapa individu dalam penerbangan menuju ke New York, baru-baru ini.
Selma memaklumkan yang dia tidak berniat untuk mengasari individu terbabit dan menegaskan ada cerita yang tidak didedahkan berhubung kejadian tersebut.
“Blair tidak berniat mengasari mana-mana pihak. Dia cuma memerlukan perhatian perubatan dan masih bertarung dengan penyakit Sklerosis,” kata wakil medianya.
Pelakon itu baru-baru ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyerang pegawai polis dan seorang jururawat selepas dikeluarkan daripada penerbangan berkenaan.
Dia juga dituduh menyerang dua anak kapal yang bertugas dalam penerbangan tersebut.
Dalam kenyataan sama, wakil perhubungan awam Blair turut menafikan laporan media yang mendakwa pelakon itu cuba membuka pintu pesawat Delta Airlines.
Terdahulu, Blair mengumumkan menghidapi penyakit Sklerosis sejak 2018 yang kembali menyerang pada 2021.











