GEORGE TOWN : Kerajaan negeri sedang menjalankan perbincangan dan penelitian berhubung keperluan untuk meneroka bidang perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) selepas ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, ketika ini, sesi perbincangan antara kerajaan negeri dengan beberapa syarikat berkaitan telah pun diadakan.
Selain itu, katanya, lawatan ke tapak projek rintis di Perak juga sedang diatur untuk melihat kaedah pelaksanaan serta manfaat yang akan diperoleh khususnya dari segi pulangan hasil kepada negeri secara komprehensif.
“Ini bagi membolehkan projek yang akan dilaksanakan kelak menepati syarat-syarat serta garis panduan
yang telah ditetapkan oleh agensi berkaitan bagi menjaga kepentingan alam sekitar.
“Buat masa sekarang, banyak syarikat yang mengusahakan projek-projek begini berjumpa dengan dan buat pembentangan.
“Kami juga akan buat beberapa lawatan kerana ia baharu untuk kita. Jadi, kita kena baca untuk tahu serta lanjutkan usaha kita,” katanya semasa sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Dalam pada itu, Sundarajoo berkata, berkaitan dengan potensi hidrokarbon sebagai sumber pendapatan baharu negeri, pada 15 November 2023, Petronas telah mengumumkan bahawa satu tinjauan seismik 2D multi-klien baru (new offshore multi-client 2D seismic survey) telah dijalankan di kawasan utara Selat Melaka.
“Ia adalah untuk mengeksplorasi dan memetakan potensi hidrokarbon di blok terbuka PM320 dan PM321 Cekungan Langkasuka.
“Tinjauan ini akan meningkatkan ketersediaan data seismik yang lebih besar dan komprehensif, tinjauan tersebut telah bermula pada bulan Oktober 2023 dan telah selesai pada akhir Disember 2023 manakala proses menganalisis data-data terkumpul dijangka selesai pada Jun 2024,” katanya.
Tambah beliau, sehingga kini, sesi perbincangan antara kerajaan negeri bersama pihak Petronas masih belum dapat diadakan atas faktor permohonan dari pihak Petronas untuk melengkapkan proses menganalisa data.
“Kerajaan negeri masih dalam peringkat perbincangan untuk memaksimumkan penemuan hidrokarbon di Pulau Pinang berdasarkan keputusan kaji selidik yang dijalankan oleh pihak Petronas kelak.
“Kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan berusaha secara bersepadu untuk memastikan projek ini memenuhi kehendak serta hasrat kita,” katanya.










